Selasa, 11 Mei 2021 | 10:23am
 Foto AFP
Foto AFP

EU jangka lulus vaksin Pfizer untuk remaja 12-15 tahun

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) dijangka meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk remaja berusia 12 hingga 15 tahun seawal bulan ini, kata Pengarah Eksekutif Agensi Perubatan Eropah (EMA), Emer Cooke.

"Buat masa ini, matlamat yang kami tetapkan adalah pada Jun... kami berusaha sama ada boleh dipercepatkan pada akhir Mei," katanya kepada wartawan.

Komen beliau diterbitkan ketika Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bahawa ia sudah membenarkan vaksin itu untuk remaja berumur 12 hingga 15 tahun.

Cooke berkata, Pengawalselia Perubatan EU yang berpusat di Amsterdam sudah menerima data Pfizer-BioNTech dan pihaknya dijanjikan data daripada ujian klinikal dan kajian yang dilakukan di Kanada dalam dua minggu lagi untuk mempercepatkan penilaian.

Dalam temubual itu, Cooke berulang kali disoal mengenai tekanan yang disokong oleh AS supaya paten vaksin itu ditarik.

Suruhanjaya Eropah dan pemimpin EU berkata perkara itu bukan keutamaan, kerana Eropah sudah mengeksport banyak dos vaksin untuk kegunaan sendiri, tidak seperti AS.

Cooke, warga Ireland berusia 60 tahun, juga ditanya sama ada beliau sudah divaksin, dan menjawab beliau menerima suntikan di Belanda.

"Saya diberi vaksin AstraZeneca dos pertama seminggu yang lalu, "katanya.

AstraZeneca dikritik hebat oleh Suruhanjaya Eropah kerana gagal membuat penghantaran sebahagian besar dos yang dijanjikan kepada EU, yang kini dalam proses tuntutan undang-undang.

Kaitan antara vaksin itu dan pembekuan darah yang sangat jarang mendorong beberapa negara EU untuk mengehadkan suntikan AstraZeneca kepada golongan tua sahaja, bagaimanapun Denmark menghentikan terus penggunaannya.

EMA walaupun mengakui kaitan pembekuan darah, mengekalkan saranan supaya AstraZeneca digunakan untuk semua peringkat umur golongan dewasa. - AFP

Berita Harian X