Selasa, 27 April 2021 | 8:07am
Gambar fail menunjukkan bendera Ukraineberkibar di bangunan kedutaannya di Moscow. - Foto EPA
Gambar fail menunjukkan bendera Ukraineberkibar di bangunan kedutaannya di Moscow. - Foto EPA

Russia usir diplomat Ukraine

MOSCOW: Rusia semalam mengumumkan pengusiran seorang kakitangan kedutaan Ukraine, perkembangan terbaru dalam gelombang pengusiran diplomatik membabitkan diplomat Russia dan Eropah.

Pengusiran itu berlaku ketika ketegangan antara Moscow dan Kiev semakin memuncak, susulan pertempuran yang meningkat antara tentera Ukraine dan pemisah pro Russia di timur Ukraine.

Kementerian luar Russia, dalam satu kenyataan, berkata disebabkan 'tindakan tidak mesra yang diambil pihak Ukraine... seorang pegawai kedutaan Ukraine di Russia diisytiharkan sebagai persona non grata'.

Katanya, diplomat berkenaan yang tidak dinamakan, mesti meninggalkan Russia pada hujung April.

Kementerian itu memberi amaran kepada Ukraine, langkah susulan akan diambil terhadap kakitangan kedutaan di Moscow 'jika berlaku tindakan bermusuhan' terhadap diplomat Russia di Ukraine.

Tindakan itu dibuat selepas Ukraine mengusir diplomat Russia pada minggu lalu, sebagai tindak balas terhadap arahan Moscow supaya seorang konsul Ukraine di bandar kedua Russia, St Petersburg, meninggalkan negara itu.

Agensi keselamatan Russia memaklumkan, konsul berkenaan berusaha untuk mendapatkan maklumat sensitif daripada seorang warga Russia.

Situasi beberapa minggu kebelakangan ini menyaksikan gelombang pengusiran pegawai Russia dari negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) susulan dakwaan penggodaman dan pengintipan.

Romania pada Isnin berkata, ia akan menyingkirkan diplomat Russia, sebagai solidariti dengan republik Czech, yang baru-baru ini mengarah keluar 18 kakitangan kedutaan Russia berhubung letupan maut di depot peluru pada 2014.

Russia pada awal Isnin mengusir atase tentera laut Itali, sebagai tindak balas terhadap tindakan sama oleh Rom bulan lalu dalam kes skandal pengintipan.

Kiev berperang dengan pemisah pro-Rusia di wilayah pemisahan timurnya sejak 2014, berikutan pencerobohan Moscow di semenanjung Crimea.

Sekurang-kurangnya 31 tentera Ukraine terbunuh sejak awal tahun ini, berbanding 50 tentera pada 2020, manakala pemisah berkata, 22 pejuang mereka maut dalam konflik itu. - AFP

Berita Harian X