Isnin, 26 April 2021 | 10:13pm
Russia beri masa 24 jam untuk atase tentera laut Rom di Moscow meninggalkan negara itu. - Foto AFP
Russia beri masa 24 jam untuk atase tentera laut Rom di Moscow meninggalkan negara itu. - Foto AFP

Russia bertindak balas usir diplomat Itali

MOSCOW: Moscow mengusir diplomat Itali sebagai tindak balas terhadap pemecatan dua pegawai Russia dari Rom pada Mac lalu kerana skandal pengintipan.

Kementerian Luar Negeri telah memanggil duta besar Itali dan menyatakan bahawa Russia mengisytiharkan 'persona non grata' terhadap atase tentera laut Rom di Moscow yang mempunyai masa 24 jam untuk meninggalkan negara itu.

Rom mengumumkan akhir bulan lalu bahawa mereka mengusir dua pegawai Russia selepas seorang kapten tentera laut Itali ditangkap oleh polis ketika menjual dokumen ketenteraan sulit kepada seorang pegawai kedutaan Russia.

Pegawai tentera laut, Walter Biot, yang bertugas di pejabat Ketua Staf Pertahanan dilapor menyerahkan dokumen kepada Russia dengan bayaran 5,000 euro (RM24,747).

Bagaimanapun, Rom mengecam pengusiran itu dan menyifatkannya sebagai tidak berasas dan tidak adil kerana ia sebagai balasan atas tindakan yang sah diambil oleh pihak berkuasa Itali untuk mempertahankan keselamatan mereka sendiri.

Beberapa minggu kebelakangan ini menyaksikan gelombang pengusiran pegawai Russia dari negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat atas dakwaan penggodaman dan pengintipan.

Ketegangan meningkat terutama dengan Republik Czech selepas Prague menuduh perisik tentera Russia mendalangi letupan maut di depot peluru pada 2014.

Prague mengusir 18 diplomat Russia atas tuduhan itu dan Moscow membalas dengan mengusir 20 kakitangan kedutaan Republik Czech.

Romania pula akan mengusir diplomat Russia sebagai solidariti terhadap Republik Czech berikutan keputusan serupa yang diambil oleh Slovakia dan negara-negara Baltik. - AFP

Berita Harian X