Sabtu, 24 April 2021 | 2:35pm
Gambar hiasan. - Foto fail AFP
Gambar hiasan. - Foto fail AFP

Manfaat vaksin AstraZeneca bertambah mengikut usia

THE HAGUE: Manfaat vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca bertambah mengikut usia dan masih melebihi risiko bagi orang dewasa, kata agensi kawalan ubat Kesatuan Eropah (EU) semalam.

Agensi Perubatan Eropah (EMA) turut memaklumkan, pihak berkuasa kesihatan juga perlu terus memberikan dos kedua vaksin AstraZeneca, meskipun ia dikaitkan dengan insiden darah beku yang jarang berlaku namun boleh membawa maut.

EMA yang berpusat di Amsterdam mengemukakan penemuan siasatan yang diarahkan oleh Suruhanjaya Eropah selepas wujud kebimbangan yang menyebabkan beberapa negara menggantung pemberian vaksin AstraZeneca kepada individu berusia.

Timbalan Pengarah Eksekutif EMA, Noel Wathion, berkata data menunjukkan manfaat vaksin itu meningkat mengikut usia, dan dengan peningkatan tahap jangkitan dalam komuniti.

"Manfaat Vaxeveria melebihi risiko bagi orang dewasa dalam semua kumpulan umur, seperti yang sudah disahkan agensi ini, namun kes darah beku dengan platlet darah rendah yang jarang berlaku dikesan selepas proses vaksinasi," katanya dalam sidang media secara maya.

Wathion berkata, penemuan terbaru AstraZeneca adalah 'panduan yang baik untuk negara anggota apabila mengubah suai strategi imunisasi'.

Menurut EMA, insiden darah beku itu berlaku kira-kira satu dalam 100,000 orang yang menerima vaksin berkenaan, namun risiko berdepan kes itu lebih tinggi bagi individu berusia 40 hingga 49 dengan 2.1 kes per 100,000, disusuli usia 20 hingga 29 (1.9 kes) dan usia 30 hingga 39 (1.8 kes).

Risiko itu menjadi rendah bagi individu lebih berusia, iaitu kumpulan usia 50 hingga 59 dengan 1.1 kes per 100,000, usia 60 hingga 69 (satu kes), usia 70 hingga 79 (0.5 kes) dan usia 80 ke atas (0.4 kes).

"Ia menunjukkan kes positif vaksin berbanding insiden darah beku meningkat mengikut usia, serta dengan peningkatan kadar jangkitan," kata ketua analitik data EMA, Peter Arlett pada sidang media berkenaan.

Sementara itu, Wathion berkata, dos kedua AstraZeneca perlu terus diberikan antara empat hingga 12 minggu selepas dos pertama seperti digariskan, walaupun beberapa negara mahu menggantikan dos kedua dengan vaksin mRNA seperti Pfizer atau Moderna.

Berhubung laporan mengatakan darah berlaku lebih cenderung bagi wanita, EMA berkata data daripada seluruh EU tidak mencukupi untuk memberi konteks manfaat dan risiko berkait dengan jantina penerima vaksin. - AFP

Berita Harian X