Isnin, 19 April 2021 | 9:37am
Anggota pasukan keselamatan mengawal bangunan Kedutaan Russia di Prague, berikutan demonstrasi di Prague, semalam. - Foto AFP
Anggota pasukan keselamatan mengawal bangunan Kedutaan Russia di Prague, berikutan demonstrasi di Prague, semalam. - Foto AFP

Russia usir 20 diplomat Republik Czech

MOSCOW: Ketegangan antara Moscow dan Prague terus meningkat selepas Russia semalam, mengusir 20 diplomat Republik Czech meninggalkan negara itu.

Tindakan itu susulan tuduhan Republik Czech, Russia menjadi dalang kejadian keracunan bekas perisik Russia, Sergei Skripal yang dikaitkan dengan kejadian letupan pada 2014.

Sabtu lalu pihak berkuasa Czech mengumumkan mereka mengusir 18 diplomat Russia yang dikenal pasti sebagai ejen rahsia perkhidmatan keselamatan SVR dan GRU Russia dan disyaki terbabit dalam letupan di gudang peluru tentera yang mengorbankan dua orang.

Sementara itu, polis republik itu memaklumkan mereka mencari dua orang Russia berhubung letupan itu dan menyatakan pasangan itu membawa pasport yang digunakan oleh suspek dalam keracunan bekas ejen talam dua muka Russia, Sergei Skripal di Britain pada 2018.

Menurut media Czech, kedua-dua orang Russia itu dikenali sebagai Alexander Mishkin dan Anatoly Chepigov berdasarkan rakaman video dari laman web dan foto yang disiarkan selepas serangan Skripal.

Namun, semalam Russia menyatakan tuntutan Czech itu 'tidak masuk akal', dan mengumumkan 20 pegawai di pejabat kedutaan Republik Czech di Moscow diisytiharkan 'persona non grata' dan perlu meninggalkan negara itu hari ini.

Russia mengumumkan tindak balas itu berikutan ketegangan antara Moscow dan Amerika Syarikat (AS) kerana banyak isu termasuk penempatan pasukan Russia di sempadan Ukraine, campur tangan dalam pilihan raya AS dan kegiatan permusuhan lain yang berpanjangan.

Pengusiran itu dilancarkan setelah Duta Besar Republik Czech di Moscow, Vitezslav Pivonka, dipanggil oleh Kementerian Luar Russia.

"Pivonka diberitahu bahawa 20 pegawai di pejabat kedutaan Czech di Moscow diisytiharkan sebagai 'persona non grata' ," kata Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan, hari ini.

"Mereka diarah meninggalkan negara kita selewat-lewatnya hari ini (19 April 2021)," kata kementerian itu,

"Dalam keinginan mereka untuk menyenangkan Amerika Syarikat, mereka melaksanakan sekatan baru-baru ini terhadap Russia, bahkan tindakan mereka lebih sudu daripada kuah," kata kementerian itu semalam.

Di Prague, penunjuk perasaan membaling batu dan sos tomato di tembok kedutaan Russia sebagai bantah tindakan negara itu mengusir diplomat Czech, dan dijangka ahli politik negara itu bersedia melakukan bantahan yang sama.

"Membunuh warga Republik Czech di wilayahnya oleh negara lain, itu hampir menyamai tindakan perang," kata penunjuk perasaan, Tomas Peszynski kepada AFP dalam satu demonstrasi di luar kedutaan Russia di Prague.

Sekitar 100 penunjuk perasaan memakai sepanduk yang bertuliskan "Kami bukan halaman belakang Russia" dan melaungkan "Malu" sambil mengibarkan bendera EU dan NATO. - AFP

Berita Harian X