Ahad, 18 April 2021 | 10:15pm
Navalny dipenjarakan pada Februari lalu dan dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun setengah. - Foto AFP
Navalny dipenjarakan pada Februari lalu dan dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun setengah. - Foto AFP

Doktor maklumkan Navalny mungkin boleh mati bila-bila masa

MOSCOW: Pengkritik Kremlin, Alexei Navalny, berisiko mengalami serangan jantung pada bila-bila masa kerana kesihatannya semakin merosot, kata sekumpulan doktor semalam yang mendesak mereka diberikan akses segera untuk merawat pemimpin itu di penjara.

Doktor peribadi Navalny, Anastasia Vasilyeva dan tiga lagi doktor termasuk pakar kardiologi, Yaroslav Ashikhmin memohon kepada pihak berkuasa penjara supaya diberikan akses segera bagi tujuan rawatan.

"Pesakit kami boleh mati pada bila-bila masa dan gangguan aritmia yang boleh mengundang maut juga boleh berlaku," kata Ashikhmin menerusi Facebook, semalam.

Menurutnya lagi, Navalny sepatutnya dipindahkan ke unit rawatan rapi bagi tujuan pemantauan lanjut.

Terdahulu, pada awal minggu ini, isteri Navalny, Yulia yang melawatnya di penjara berkata berat badan suaminya kini hanya 76 kilogram (kg), turun sembilan kg sejak memulakan mogok lapar.

Pada 31 Mac, penentang Presiden Vladimir Putin yang paling terkenal melakukan mogok makan untuk menuntut rawatan perubatan yang tepat untuk sakit belakang dan kebas di kaki dan tangannya.

Semalam, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, turut mengecam layanan terhadap aktivis itu yang disifatkan sebagai tidak adil.

Navalny, 44, dipenjarakan pada Februari lalu dan dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun setengah membabitkan tuduhan menggelapkan wang di sebuah penjara koloni di bandar Pokrov yang terletak kira-kira 100 km di timur Moscow.

Pada September tahun lalu, pemimpin pembangkang itu diracun ejen saraf Novichok.

Beliau jatuh sakit selepas menaiki pesawat di Siberia bulan lalu dan dimasukkan ke hospital di sana sebelum diterbangkan ke Berlin.

Beliau juga pernah mengalami luka terbakar di bahagian mata pada 2017 apabila penyerang mencurahkan pewarna hijau yang digunakan sebagai pembasmi kuman dalam kejadian di luar pejabatnya. - AFP

Berita Harian X