Ahad, 18 April 2021 | 7:19pm
Petugas kesihatan Perancis berkumpul berhampiran Kementerian Kesihatan untuk memberi penghormatan kepada doktor pelatih yang membunuh diri. - Foto EPA
Petugas kesihatan Perancis berkumpul berhampiran Kementerian Kesihatan untuk memberi penghormatan kepada doktor pelatih yang membunuh diri. - Foto EPA

COVID-19: Doktor pelatih di hospital Perancis berdepan kemuncak tekanan

PARIS: Selepas setahun terpaksa bekerja lebih masa, doktor pelatih yang berkhidmat di hospital di Perancis berdepan tekanan hebat sehingga ada yang bertindak membunuh diri, menurut kesatuan kebangsaan.

Ketua Kesatuan Kakitangan Pelatih Kebangsaan ISNI, Gaetan Casanova, berkata sejak awal tahun ini, seramai lima doktor pelatih direkodkan membunuh diri dan ia menyamai kes bunuh diri dalam tempoh setiap 18 hari.

ISNI menganjurkan 'penghormatan senyap' kepada mangsa di luar pejabat Kementerian Kesihatan dan dihadiri sekitar 40 individu termasuk doktor pelatih dan keluarga mereka.

Nama mereka iaitu Valentin, Tristan, Quentin, Elise dan Florian dipaparkan di papan hitam, selain terdapat sepanduk 'Hospital membunuh doktor pelatih. Bantu kami untuk terus hidup' diletakkan di hadapan pintu masuk kementerian itu.

Menurut Casanova, mereka berkhidmat dalam panggilan (on call) 24 jam sehari dan ketika pandemik, petugas pelatih ini langsung tidak dapat tidur walaupun sekejap.

"Ini sangat melampau dan semua orang terpaksa melaluinya, termasuk penjaga dan pesakit. Semua orang berada dalam bahaya," katanya.

Dalam pada itu, menurut satu kajian yang dijalankan lebih tiga bulan pada 2019 oleh ISNI, doktor pelatih bekerja sekitar 58 jam seminggu.

Naib Presiden Kesatuan Pelatih Hospital di Paris yang juga salah seorang doktor pelatih di hospital, Marie Saleten, berkata, berikutan pandemik COVID-19, jumlah masa bekerja mereka terus meningkat sekitar 80 jam seminggu.

Katanya, secara teorinya, mereka bekerja 48 jam seminggu, namun tidak ada sesiapa yang peduli mengenai perkara itu.

Untuk rekod, terdapat lebih 300,000 doktor pelatih dengan purata umur sekitar 25 tahun di seluruh Perancis.

Khamis lalu, Menteri Kesihatan, Olivier Veran mengadakan pertemuan dengan wakil ISNI dan sekumpulan kakitangan pelatih.

"Kami komited untuk memperbaiki situasi bekerja, bermula dengan waktu bekerja mereka," katanya dalam satu ciapan di Twitter selepas mesyuarat itu.

Bagaimanapun, ISNI masih sangsi sejauh mana perkara itu dapat diatasi.

Sementara itu, Pakar Psikologi Klinikal, Anne Rocher memberitahu AFP, kakitangan pelatih ini mungkin tidak menonjol tetapi mereka adalah barisan hadapan yang memerangi pandemik itu. - AFP

Berita Harian X