Ahad, 18 April 2021 | 2:02pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Kes kedua pembekuan darah selepas suntikan AstraZeneca di Kanada

TORONTO: Pihak berkuasa kesihatan Kanada berkata kes kedua pembekuan darah selepas suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca dikesan di negara itu.

Bagaimanapun, ia disifatkan sebagai sesuatu yang amat jarang berlaku dan terus mengesyorkan penggunaan vaksin itu.

Menurut ciapan Twitter pihak berkuasa kesihatan Kanada, pesakit yang tinggal di wilayah barat Alberta itu disuntik vaksin AstraZeneca dibekalkan Institut Serum India (SII) dan kini menerima rawatan serta semakin pulih,"

Kanada melaporkan kes pertama pembekuan darah penerima suntikan vaksin AstraZeneca dikaitkan dengan platlet rendah Selasa lalu, membabitkan seorang wanita dari Quebec.

Jabatan Kesihatan Kanada dan Badan Kesihatan Awam Kanada berkata pembekuan darah yang dikaitkan dengan vaksin AstraZeneca sangat jarang berlaku dan Kanada masih percaya bahawa manfaat vaksin itu melebihi potensi risiko

Pihak berkuasa kesihatan Kanada berkata mereka akan terus memantau penggunaan semua vaksin COVID-19 dengan teliti dan memeriksa serta menilai masalah keselamatan baharu.

Pada akhir Mac, Jawatankuasa Penasihat Nasional Imunisasi Kanada (NACI) mengesyorkan menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca ke atas individu di bawah usia 55 tahun sementara ia menilai risikonya.

Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Kanada yang bertanggungjawab terhadap dasar kesihatan negara, berkata menurut analisisnya, tindakan mengehadkan penggunaan vaksin kepada kumpulan tertentu tidak diperlukan dilakukan sekarang.

Menurut laman sesawang COVID-19 Tracker Canada, sehingga kini 23.3 peratus penduduk Kanada sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Negara itu menghadapi gelombang wabak ketiga, namun hanya baru-baru ini memaksa wilayah untuk mengetatkan perintah larangan.

Ontario, yang memiliki jumlah kes tertinggi, kelmarin mengumumkan pihaknya akan memperketat dan melanjutkan langkah kawalan sehingga 19 Mei selain menutup sempadannya dengan wilayah Quebec serta Manitoba mulai Isnin ini. - AFP

Berita Harian X