Ahad, 18 April 2021 | 10:58am
Bendera Ukraine berkibar di kedutaannya di Moscow, Russia. - Foto EPA
Bendera Ukraine berkibar di kedutaannya di Moscow, Russia. - Foto EPA

Russia, Ukraine usir diplomat, ketegangan meningkat

ST PETERSBURG: Russia mengusir diplomat Ukraine sebagai membalas tindakan sama dilakukan Ukraine, sekali gus meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara.

Persengketaan berikutan penempatan tentera Russia di bahagian timur Ukraine itu semakin memuncak sejak kebelakangan ini .

Terbaru, seorang konsul Ukraine ditahan di St Petersburg ketika dunia semakin bimbang Russia akan bertindak mengulangi pencerobohannya pada 2014 ke atas wilayah itu dengan menyokong puak pemisah di timur Ukraine.

Moscow mendakwa diplomat Ukraine itu ditangkap ketika cuba mendapatkan maklumat sensitif mengenai negara itu.

Sebagai tindak balas, Kementerian Luar Ukraine memprotes penahanan diplomatnya yang tidak sah dan menyatakan Kiev juga akan mengusir diplomat kanan Russia.

Perkhidmatan Keselamatan Russia (FSB), dalam satu kenyataan, mengesahkan seorang diplomat Ukraine, Konsulat Jeneral Ukraine di St Petersburg, Alexander Sosonyuk, ditahan oleh FSB Russia Jumaat lalu.

Kementerian Luar Russia semalam memaklumkan sudah memanggil wakil Ukraine, Vasyl Pokotylo, dan memberitahu diplomat itu mempunyai 72 jam untuk meninggalkan negara itu, bermula esok.

"Russia tidak dapat menerima tindakan yang dilakukan wakil Ukraine ini," katanya dalam satu kenyataan.

FSB memaklumkan Sosonyuk ditahan ketika mengadakan pertemuan dengan warga Russia bagi mendapatkan maklumat rahsia.

"Kegiatan seperti itu tidak sesuai dengan status diplomatiknya dan jelas memusuhi Persekutuan Russia," kata FSB.

Sementara itu di Kiev, Kementerian Luar Ukraine memprotes penahanan diplomat itu dan menafikan semua tuduhan Russia.

Jurucakapnya, Oleg Nikolenko, berkata Russia secara kasar melanggar konvensyen diplomatik dan berusaha untuk meningkatkan ketegangan.

"Sebagai tindak balas terhadap provokasi ke atas seorang diplomat kanan, pegawai kedutaan Russia di Kiev mesti meninggalkan wilayah Ukraine dalam tempoh 72 jam bermula esokl," katanya. - AFP.

Berita Harian X