Ahad, 18 April 2021 | 8:42am
Kakitangan perubatan Perancis memberi penghormatan terakhir kepada rakan sekerja yang membunuh diri akibat beban kerja terlalu tinggi berikutan pandemik COVID-19. - Foto EPA
Kakitangan perubatan Perancis memberi penghormatan terakhir kepada rakan sekerja yang membunuh diri akibat beban kerja terlalu tinggi berikutan pandemik COVID-19. - Foto EPA

Perancis laksana kuarantin bagi pelawat dari empat negara

PARIS: Perancis mengenakan perintah kuarantin 10 hari terhadap pelawat dari Argentina, Brazil, Chile dan Afrika Selatan berikutan kebimbangan mengenai varian baharu COVID-19.

Perkara itu diumumkan Pejabat Perdana Menteri semalam, yang turut memaklumkan penerbangan dari Argentina, Chile dan Afrika Selatan kekal dan tidak ditangguhkan.

Semua kemasukan dari negara berkenaan bagaimanapun perlu menjalani kuarantin wajib dan mereka yang melanggar peraturan itu boleh di denda.

Penerbangan dari Brazil kini ditangguhkan sehingga Jumaat depan berikutan kebimbangan mengenai varian P1 COVID-19, yang didakwa lebih mudah menular berbanding strain asal dan boleh menjangkiti semula mereka yang terkena virus asal.

Mengenai keputusan untuk tidak melarang penerbangan dari tiga negara lain pula, Paris mengatakan bahawa varian itu belum mencapai tahap seperti di Brazil.

Mengulas lanjut keputusan itu, dimaklumkan kuarantin akan dilaksanakan secara beransur-ansur dalam beberapa hari ini sehingga penguatkuasaan pelaksanaannya pada Sabtu depan.

Langkah terbaru ini juga akan mengehadkan kemasukan pelawat daripada tiga negara yang disenaraikan termasuk orang Perancis dan keluarga mereka serta penduduk di Kesatuan Eropah .

Ketibaan dari Pulau Guyane dan Antillen, Perancis juga akan menjalani ujian sebelum dan selepas penerbangan mereka, kata kenyataan itu.

Perancis baru-baru ini mengetatkan sekatan dalam memerangi gelombang ketiga coronavirus, mengenakan perintah berkurung mulai semalam, menutup kedai yang tidak penting dan menyekat perjalanan di dalam negara. - AFP

Berita Harian X