Ahad, 18 April 2021 | 8:25am
Perdana Menteri Czech, Andrej Babis (kanan) dan Pemangku Menteri Luar Czech, Jan Hamacek (kiri) pada sidang media bersama mengumumkan pengusiran diplomat Russia. - Foto EPA
Perdana Menteri Czech, Andrej Babis (kanan) dan Pemangku Menteri Luar Czech, Jan Hamacek (kiri) pada sidang media bersama mengumumkan pengusiran diplomat Russia. - Foto EPA

Kerajaan Czech usir 18 diplomat Russia

PRAGUE: Kerajaan Czech mengusir 18 diplomat Russia dikenal pasti menjadi ejen rahsia perkhidmatan SVR dan GRU yang disyaki terbabit dalam kes letupan pada 2014.

Pemangku Menteri Luar Czech, Jan Hamacek, berkata 18 kakitangan kedutaan Russia perlu meninggalkan republik itu dalam tempoh 48 jam.

"Saya kesal dengan tragedi ini, yang menyebabkan hubungan Republik Czech-Russia menjadi keruh.

"Keadaan yang kami alami ini sama seperti kes kes keracunan di Salisbury, Britain," katanya merujuk kes membabitkan bekas ejen talam dua muka Russia, Sergei Skripal, yang terselamat daripada keracunan saraf di negara itu.

Perdana Menteri, Andrej Babis, memaklumkan pihak berkuasa Czech mempunyai bukti yang kukuh mengenai peranan pegawai GRU dalam kes letupan di gudang peluru pada 2014 yang menyebabkan dua orang terbunuh.

"Kami mempunyai alasan kukuh untuk mengesyaki pembabitan pegawai GRU dari unit 29155 dalam letupan di gudang peluru di Vrbetice" di timur negara ini.

"Letupan itu menyebabkan banyak kerosakan harta benda dan menimbulkan ancaman serius terhadap kehidupan penduduk tempatan, namun lebih menyedihkan dua rakan kita turut terkorban," katanya.

Beliau mengakui menerima maklumat itu pada Jumaat lalu tapi tidak menjelaskan mengapa kes itu memakan masa begitu lama sebelum didedahkan.

Russia pula menafikan pembabitannya dalam serangan berkenaan, namun negara itu memanggil pulang kira-kira 300 diplomatnya dari negara itu.

Hamacek, yang juga Menteri Dalam Negeri Czech, memberitahu beliau sudah memanggil duta besar Russia, Alexander Zmeyevsky, semalam bagi memaklumkan mengenai keputusan itu.

Khamis lalu, negara jiran Republik Czech, Poland mengusir tiga diplomat Russia kerana 'melakukan aktiviti yang mengancam' keselamatan Poland.

Warsaw juga menyatakan mereka kini mengikut jejak langkah Amerika Syarikat (AS), yang sebelum ini mengumumkan sekatan dan pengusiran 10 diplomat Russia.

Washington mengambil tindakan itu sebagai pembalasan terhadap campur tangan Moscow pada pilihan raya presiden negara itu, melakukan serangan siber besar-besaran dan terbabit kegiatan yang mengancam keselamatan. - AFP

Berita Harian X