Sabtu, 17 April 2021 | 9:14pm
Masjid Ferhadiye di Sarajevo meneruskan semula tradisi tadarus ketika Ramadan yang dihentikan sejak 30 tahun lalu. - Foto AGENSI
Masjid Ferhadiye di Sarajevo meneruskan semula tradisi tadarus ketika Ramadan yang dihentikan sejak 30 tahun lalu. - Foto AGENSI

Bosnia kembalikan tradisi tadarus Ramadan selepas 30 tahun

BELGRADE: Masjid warisan Uthmaniah, Masjid Ferhadiye yang terletak di ibu kota Sarajevo, Bosnia dan Herzegovina meneruskan semula tradisi tadarus ketika Ramadan yang dihentikan sejak 30 tahun lalu.

Masjid bersejarah yang wujud sejak abad ke-16 itu meneruskan semula tradisi Ramadan yang terhenti susulan perang di antara 1992 dan 1995, menurut laporan oleh agensi Anadolu.

Masjid itu memulakan tadarus dalam bulan Ramadan pada tahun ini.

Katanya, bacaan al-Quran dimulakan pada 11.30 pagi waktu tempatan setiap hari dan turut disiarkan di internet.

Imam Muhamed Velic memberitahu Agensi Anadolu, tradisi bacaan al-Quran sangat penting dalam dunia Islam.

"Kami bawakan hafiz al-Quran bersama dalam tadarus al-Quran ini.

"Ferhadiye meninggalkan tradisi ini agak lama, tetapi amat penting untuk ia diteruskan," katanya.

Katanya, tradisi itu akan diteruskan setiap tahun.

Sesi tadarus itu akan dikendalikan empat hafiz al-Quran dan imam masjid berkenaan.

Masjid Ferhadiye adalah antara contoh keindahan seni bina Uthmaniah dan Islam di Balkans.

Ia dibina oleh Gabenor Sancak Bosnia, Ferhat Vukovic Desisalic.

Masjid itu musnah teruk dalam kebakaran pada 1697 dan 1879. Ia turut musnah ketika perang Bosnia dan dipulihara semula sehingga hari ini. - BERNAMA

Berita Harian X