Sabtu, 17 April 2021 | 1:43pm
Pemain bertafakur sejenak menghormati Putera Philip sebelum perlawanan bola sepak Liga Inggeris Everton FC menentang Tottenham Hotspur. - Foto EPA
Pemain bertafakur sejenak menghormati Putera Philip sebelum perlawanan bola sepak Liga Inggeris Everton FC menentang Tottenham Hotspur. - Foto EPA

Putera Philip disemadikan hari ini

WINDSOR: Britain bertakafur seketika menghormati pemergian tokoh penting monarki diraja, Putera Philip, dengan Ratu Elizabeth II dijangka memberi penghormatan terakhir kepada mendiang suaminya lewat hari ini.

Biarpun upacara akan berlangsung dengan beberapa rutin tradisional penting kerajaan, hanya 30 orang saja akan berada di dalam Gereja St George di Istana Windsor disebabkan pandemik COVID-19.

Tiada perarakan umum diadakan, malah kesemua yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka dan Ratu Elizabeth juga akan duduk bersendirian.

Uskup Agung Canterbury, Justin Welby, yang akan mengendalikan upacara itu, berkata baginda akan mengucapkan selamat tinggal kepada suaminya yang dikahwini selama 73 tahun.

"Baginda adalah ratu dan akan membawa diri dengan darjat yang tinggi dan keberanian luar biasa, seperti mana yang selalu dilakukannya.

"Kita juga menjangkakan ramai akan meratapi pemergian ini di kediaman masing-masing kerana mereka tidak dapat melihat wajah Putera Philip yang disayangi kerana tempat dihadkan kepada 30 orang saja," katanya .

Pengebumian Putera Philip juga akan berlandaskan tradisi ketenteraan dan sebenarnya dirancang sendiri oleh Duke of Edinburgh itu, yang juga veteran Tentera Laut Diraja ketika Perang Dunia Kedua.

Upacara pengebumian akan disertai pasukan tentera, tentera laut serta tentera diraja, malah keranda mendiang juga akan dibawa menggunakan sebuah Land Rover yang diubah suai baginda sendiri.

Hanya keluarga diraja dan keluarga Putera Philip saja yang akan menyertai upacara itu, tanpa sebarang kehadiran tokoh politik termasuk Perdana Menteri, Boris Johnson.

Keseluruhan acara akan diadakan di sebalik tembok Istana Windsor dan orang ramai diminta jangan berkumpul di luar istana atau kediaman diraja lain untuk menunjukkan tanda hormat.

Pada jam 2 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) iaitu sebelum upacara bermula, UK akan bertakafur seketika. - AGENSI

Berita Harian X