Jumaat, 16 April 2021 | 10:03am
Gambar menunjukkan seorang jururawat memegangn botol vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech. - Foto AFP
Gambar menunjukkan seorang jururawat memegangn botol vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech. - Foto AFP

Pfizer pertahan harga mahal vaksin COVID-19

PARIS: Pfizer berkata vaksin COVID-19 keluarannya yang didakwa antara yang termahal di pasaran sekarang, dijual kepada negara miskin pada harga kos.

Ketua Pengarah Eksekutif Pfizer, Albert Bourla, mempertahankan vaksin syarikatnya itu terbukti berkesan menyelamatkan nyawa manusia dan menolong negara bangkit kembali daripada pandemik coronavirus itu.

"Vaksin adalah sangat mahal, namun kami menjualnya pada harga satu hidangan makanan dan ia membantu merancakkan semula ekonomi serta menghidupkan negara," katanya yang mengetuai syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan harga sebenar vaksin syarikatnya tetapi mengakui ia dijual pada harga lebih tinggi kepada EU atau AS berbanding negara membangun.

"Di negara berpendapatan pertengahan, kami jual pada separuh harga manakala di negara miskin termasuk Afrika, kita jual pada harga kos," katanya.

Namun, ramai pemantau meragui vaksin Pfizer diedarkan secara meluas di negara Afrika kerana ia perlu disimpan dalam peti sejuk di bawah 70 darjah Celcius.

Tambah Bourla, ketika ini syarikat berkenaan sedang mengadakan formula baharu untuk memastikan vaksin itu mampu disimpan untuk tempoh empat hingga enam bulan pada suhu yang normal.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual bersama Les Echos di Perancis, Handelsblatt (Jerman), Corriere Della Sera (Itali) dan El Mundo (Sepanyol).

Berdasarkan data disebarkan beberapa bulan lalu oleh anggota kerajaan Belgium, vaksin dibangunkan bersama syarikat Jerman, BioNTech, Pfizer dan Moderna dijual pada harga tinggi kepada Kesatuan Eropah (EU).

Malah, Perdana Menteri Bulgaria, Boyko Borissov, juga memberi amaran pada awal minggu ini mengenai jurang harga yang besar ketika rundingan penambahan dua bilion dos vaksin pada masa hadapan.

"Pfizer berharga 12 euro (RM58) dan meningkat kepada 15 euro (RM74). Kontrak sudah ditandatangani... pada harga 19.50 euro (RM96)," katanya.

Harga vaksin itu mahal berbanding yang dihasilkan syarikat Britain-Sweden, AstraZeneca, yang menjamin tidak akan membuat keuntungan ketika pandemik dan hanya dijual kepada EU pada harga kurang 2 euro (RM10) seunit. - AFP

Berita Harian X