Khamis, 15 April 2021 | 8:15am
Denmark memberhentikan penggunaan vaksin AstraZeneca selepas beberapa penerima suntikan mengalami masalah darah beku. - Foto AFP
Denmark memberhentikan penggunaan vaksin AstraZeneca selepas beberapa penerima suntikan mengalami masalah darah beku. - Foto AFP

COVID-19: Denmark hentikan penggunaan vaksin AstraZeneca

COPENHAGEN: Denmark pada Selasa lalu mengumumkan keputusan untuk memberhentikan penggunaan vaksin AstraZeneca, sekali gus menjadi negara Eropah pertama berbuat demikian susulan kebimbangan kesan sampingan.

Meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Agensi Perubatan Eropah (EMA) mengesyorkan supaya vaksin dihasilkan Universiti Oxford itu tetap digunakan dalam inokulasi, Pengarah Pihak Berkuasa Kesihatan Denmark, Soren Brostrom, bertekad untuk mengambil ketetapan berkenaan.

"Kempen vaksinasi Denmark akan diteruskan tanpa penggunaan vaksin AstraZeneca," katanya dalam sidang media.

Denmark adalah negara pertama di Eropah memutuskan untuk menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca secara sementara daripada pelan imunisasi selepas wujud laporan berhubung kesan sampingan, iaitu pembekuan darah dalam kalangan penerima.

Lebih 12 negara kemudian mengikuti langkah Denmark, namun kebanyakan daripadanya kembali menggunakan vaksin terbabit selepas EMA menegaskan mengenai manfaat pelalian itu dan mengesyorkan ia selamat serta berkesan.

Denmark bagaimanapun, bertegas dengan pendiriannya untuk menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca bagi memberi laluan siasatan yang dikendalikan pihak berkuasa kesihatan negara itu.

Di Denmark, dua kes trombosis atau pembekuan darah direkodkan dengan satu daripadanya dilaporkan meninggal dunia selepas pelan imunisasi menggunakan vaksin AstraZeneca diberikan kepada lebih 140,000 penerima.

Berdasarkan rekod semasa, hanya lapan peratus daripada keseluruhan 5.8 juta penduduk di negara itu sudah menerima suntikan pelalian COVID-19 sepenuhnya, manakala 17 peratus lagi sekadar memperoleh dos pertama.

Sejak menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca pada Mac lalu, Denmark meneruskan pelan imunisasi mereka bersandarkan bekalan Pfizer-BioNTech dan Moderna.

Keputusan untuk menghentikan penggunaan vaksin AstraZeneca dilihat merencatkan pelaksanaan pelan imunisasi Denmark, namun pihak berkuasa kesihatan negara itu menerusi kenyataan menaruh keyakinan kempen inokulasi masih mampu berjalan mengikut jadual.

Katanya, hal itu kerana Denmark masih mempunyai alternatif bekalan daripada pengeluar vaksin lain, malah situasi pandemik di negara berkenaan ketika ini berada dalam keadaan terkawal. - AFP

Berita Harian X