Ahad, 11 April 2021 | 10:38am
Zelensky (kiri) selepas pertemuan ‘empat mata’ dengan Erdogan di Instanbul, semalam. FOTO AFP
Zelensky (kiri) selepas pertemuan ‘empat mata’ dengan Erdogan di Instanbul, semalam. FOTO AFP

Turki mahu konflik Ukraine, Russia diselesai secara aman

ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menggesa ketegangan antara Ukraine dan Russia ditamatkan atas prinsip saling menghormati ke atas integriti wilayah masing-masing.

Katanya, Turki mahu memastikan Laut Hitam kekal sebagai perairan aman, termasuk ketika kapal perang Amerika Syarikat (AS) dijangka belayar melalui Selat Bosphorus, tidak lama lagi.

"Kami tidak mahu ketegangan semakin memuncak di rantau ini. Kami percaya krisis yang berlaku perlu diselesaikan secara aman berdasarkan undang-undang antarabangsa dan menghormati integriti wilayah Ukraine," katanya kepada pemberita bersama rakan sejawatnya dari Ukraine, Volodymyr Zelensky,

Erdogan berkata, Turki juga sedia membantu menamatkan konflik itu dengan menyediakan pelbagai bentuk sokongan untuk menyelesaikan konflik antara dua negara berkenaan.

Katanya, Turki enggan mengiktiraf tindakan perluasan Russia di Crimea pada tahun 2015 yang sebelum ini sebahagian daripada Ukraine.

Sementara itu, Zelensky berkata, sokongan Turki berhubung kedaulatan wilayahnya disifatkan sebagai amat penting.

Pihak berkuasa Ukraine dan AS sebelum ini melahirkan kebimbangan berhubung kehadiran ribuan tentera Russia berhampiran timur Ukraine, yang mana pertempuran sering berlaku antara puak pemisah pro Russia dan tentera Kiev.

Turki pada Jumaat mengumumkan AS akan menghantar dua kapal perangnya melalui Selat Bosphorus ke Laut Hitam yang memisahkan antara Ukraine dan Russia.

Kapal perang terbabit akan beroperasi secara rutin sebagai sokongan kepada Ukraine. - AFP

Berita Harian X