Selasa, 6 April 2021 | 1:02pm
Gambar fail menunjukkan Zelensky (kiri) dan Johnson ketika bertemu tahun lalu untuk berbincang mengenai tindak tanduk Russia di timur Ukraine. FOTO AFP
Gambar fail menunjukkan Zelensky (kiri) dan Johnson ketika bertemu tahun lalu untuk berbincang mengenai tindak tanduk Russia di timur Ukraine. FOTO AFP

Presiden Ukraine, Britain bincang situasi di timur Ukraine

KIEV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berbincang mengenai situasi di timur Ukraine, semalam lapor Agensi Berita Xinhua.

Zelensky menghubungi Johnson ketika lawatan rasminya ke Qatar, menurut perkhidmatan akhbar pejabat presiden.

Presiden Ukraine itu memaklumkan mengenai situasi di Donbass semakin buruk, menyaksikan tentera Russia membuka penempatan berhampiran sempadan Ukraine dan cuba mengganggu pelaksanaan perjanjian Minsk.

"Tindakan Russia baru-baru ini menggugat keselamatan Ukraine, negara NATO dan seluruh Eropah," kata Zelensky sambil mendesak Britain, bersama sekutu lain, memperkuat kehadiran mereka di rantau ini dan meningkatkan sekatan terhadap Russia.

Menurut Pejabat Johnson, 'Perdana Menteri menegaskan kembali sokongan teguh terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine'.

Zelensky menekankan keutamaan Ukraine sekarang adalah mendapatkan Pelan Tindakan Keanggotaan NATO.

Beliau juga mengundang Johnson menghadiri Sidang Kemuncak Perdana Platform Crimean dijadualkan pada 23 Ogos ini.

Mengulas mengenai langkah ketenteraan berhampiran sempadan Ukraine baru-baru ini, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov pada minggu lalu berkata, Russia mengambil langkah diperlukan untuk memastikan keselamatan sempadannya dan tidak menimbulkan ancaman kepada pihak lain.

Katanya, Ukraine tidak memenuhi kewajipannya berdasarkan perjanjian Minsk, yang menyebabkan ketegangan di Donbass meningkat.

Konflik di timur Ukraine, bermula April 2014, meragut sekitar 14,000 nyawa dan menyebabkan 40,000 orang cedera. - BERNAMA

Berita Harian X