Jumaat, 2 April 2021 | 6:54am
 Perjanjian nuklear Iran 2015 di bawah JCPOA bertujuan mengekang program nuklear negara itu. - Foto fail AFP
Perjanjian nuklear Iran 2015 di bawah JCPOA bertujuan mengekang program nuklear negara itu. - Foto fail AFP

Kuasa dunia, Iran bincang isu nuklear hari ini

BRUSSELS: Negara kuasa dunia dan Iran dijangka bertemu menerusi sidang video hari ini bagi membincangkan kemungkinan penyertaan semula Amerika Syarikat (AS) dalam perjanjian Iran, menurut Kesatuan Eropah (EU).

Wakil China, Perancis, Jerman, Russia, United Kingdom dan Iran, negara yang masih menyertai perjanjian itu selepas AS menarik diri, dijangka menghadiri rundingan berkenaan.

"Peserta akan membincangkan prospek kemungkinan AS akan menyertai semula Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) dan bagaimana untuk memastikan pelaksanaan menyeluruh perjanjian itu daripada pelbagai sudut," menurut satu kenyataan.

Mesyuarat itu menyatukan badan yang mengawasi pelaksanaan JCPOA, yang diancam sejak bekas Presiden AS Donald Trump menarik diri pada 2018 dan Iran mulai meneruskan aktiviti nuklear.

Mesyuarat dalam talian itu akan dipengerusikan diplomat kanan EU, Enrique Mora bagi pihak Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell.

Trump mengecam kesepakatan 2015, yang menyaksikan Iran mendapat pelepasan daripada sekatan antarabangsa sebagai timbal balas untuk mengehadkan program nuklearnya, yang mencetuskan kebimbangan barat ia bakal menyebabkan Iran memperoleh senjata atom.

Bagaimanapun, Presiden AS, Joe Biden berjanji untuk menyertai semula dengan syarat Teheran kembali menghormati komitmen yang diabaikan sebagai tindak balas keputusan Trump.

Awal bulan ini, pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei mengatakan Iran mungkin akan mematuhi sepenuhnya sekiranya Teheran menganggap Washington memenuhi komitmennya.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Iran di Vienna pada 2015 dengan kuasa besar Amerika Syarikat, China, Russia, Jerman, Perancis, United Kingdom, dengan dipengerusikan EU.

Perjanjian itu dibuat bagi mencegah Republik Islam itu memperoleh senjata nuklear dengan mengenakan sekatan ketat terhadap program nuklear negara berkenaan. - AFP

Berita Harian X