Rabu, 31 March 2021 | 12:33pm
Hanya yang berusia 60 ke atas dibenarkan menerima suntikan vaksin AstraZeneca di Jerman. FOTO AFP
Hanya yang berusia 60 ke atas dibenarkan menerima suntikan vaksin AstraZeneca di Jerman. FOTO AFP

Jerman larang suntikan vaksin AstraZeneca untuk bawah 60 tahun

BERLIN: Jerman memutuskan vaksin AstraZeneca akan diberikan hanya ke atas individu berusia lebih 60 tahun dan melarang ia diberikan kepada golongan muda susulan beberapa kes darah beku dilaporkan selepas suntikan.

Kementerian Kesihatan Persekutuan berkata, individu di bawah usia 60 tahun boleh memutuskan untuk mengambil vaksin itu tetapi hanya selepas berunding dengan doktor yang melakukan proses vaksinasi dan selepas menjalankan analisa risiko individu.

"Individu yang akan menjalani suntikan kedua boleh memilih untuk mengambilnya jika diberikan kebenaran oleh doktor atau menunggu cadangan suruhanjaya," kata kementerian itu.

Sementara itu, Canselor Angela Merkel berkata, pakar merekodkan beberapa kes jarang ditemui tetapi amat serius membabitkan pembentukan darah beku di saluran darah ke atas individu yang menerima vaksin itu.

"Kita tidak boleh mengabaikan penemuan Suruhanjaya Vaksin itu," katanya.

Suruhanjaya Vaksin Jerman atau STIKO mengesyorkan penggunaan vaksin itu dihentikan bagi individu berusia bawah 60 tahun kerana data diperoleh ketika menunjukkan kesan sampingan pembentukan darah beku yang jarang berlaku tetapi sangat teruk terhadap orang yang lebih muda.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Jens Spahn berkata, negara itu akan mencapai sasaran program imunisasi dengan setiap orang dewasa menerima suntikan COVID-19 sepenuhnya pada akhir musim panas.

Majalah Der Spiegel melaporkan, pengawal selia ubat-ubatan Jerman, Institut Paul Ehrlich (PEI), melaporkan 31 kes darah beku ke atas individu yang menerima vaksin AstraZeneca.

Hampir semua kes dilaporkan membabitkan wanita muda dan pertengahan umur yang mendorong beberapa hospital di Jerman menangguhkan penggunaan vaksin itu untuk wanita di bawah 55 tahun, minggu ini.

Pada Isnin lalu, Kanada juga mengesyorkan penggunaan vaksin itu dihentikan untuk golongan berusia bawah 55 tahun sementara menunggu analisis lanjut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan badan pemantau kesihatan Kesatuan Eropah (EU) menganggap vaksin AstraZeneca selamat, tetapi beberapa negara mengehadkan penggunaannya kerana khuatir dengan kejadian terbabit. - AFP

Berita Harian X