Jumaat, 19 March 2021 | 4:38pm
(Gambar fail) Vaksin AstraZeneca - FOTO EPA
(Gambar fail) Vaksin AstraZeneca - FOTO EPA

Eropah teruskan semula penggunaan vaksin AstraZeneca

PARIS: Perancis dan Jerman bersedia untuk meneruskan semula penggunaan vaksin AstraZeneca, hari ini, selepas pengawal selia Kesatuan Eropah memberikan lampu hijau terhadap suntikan berkenaan.

Sejak beberapa hari lalu, tercetus kekecohan berhubung vaksin berkenaan dikaitkan dengan risiko darah beku yang menyaksikan sebilangan negara dari Venezuela hinggalah Indonesia menghentikan sementara program imunisasi menggunakan AstraZeneca.

Keadaan itu sekali gus menjejaskan usaha vaksinasi penduduk di serata dunia bagi mengekang penularan COVID-19 yang sudah meragut lebih 2.6 juta nyawa.

Sepanyol, Itali, Belanda, Portugal, Lithuania, Latvia, Slovenia serta Bulgaria turut memaklumkan negara masing-masing akan menyambung kembali suntikan AstraZeneca selepas Agensi Perubatan Eropah semalam mengesahkan vaksin itu adalah 'selamat dan berkesan'.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula dijadual menerbitkan rumusan penilaian agensi itu terhadap keselamatan vaksin berkenaan, hari ini.

Vaksin AstraZeneca ialah antara yang paling murah, selain lebih mudah disimpan dan diangkut berbanding beberapa keluaran lain, serta dilihat menjadi pilihan negara miskin.

Dalam perkembangan lain, pengawal selia ubat-ubatan di Filipina hari ini mengumumkan pihaknya meluluskan vaksin Sputnik V keluaran Russia untuk kegunaan kecemasan.

Sementara itu Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata pentadbirannya akan mencapai sasaran vaksinasi 100 juta penduduk negara berkenaan, berminggu-minggu lebih awal daripada yang dijadualkan.

Bagaimanapun, beliau memberi peringatan bahawa 'ia adalah masa untuk berasa optimis tetapi bukan selesa sehingga leka.' - AFP

Berita Harian X