Rabu, 17 March 2021 | 7:10am
Ketua Agensi Perubatan Eropah (EMA), Emer Cooke. - Foto EPA
Ketua Agensi Perubatan Eropah (EMA), Emer Cooke. - Foto EPA

EU teliti kesan sampingan semua vaksin COVID-19

THE HAGUE: Badan kawal selia perubatan Kesatuan Eropah (EU) sedang melakukan siasatan terhadap kesan sampingan suntikan semua jenis vaksin COVID-19.

Tindakan itu diambil berikutan wujud laporan mengenai pembekuan darah dalam kalangan segelintir individu selepas menerima suntikan vaksin AstraZeneca.

Ketua Agensi Perubatan Eropah (EMA), Emer Cooke, berkata tumpuan siasatan ketika ini lebih terarah kepada kesan sampingan yang dialami penerima vaksin AstraZeneca.

Bagaimanapun, katanya, siasatan membabitkan jenis vaksin lain tidak terkecuali, termasuk Pfizer-BioNTech dan Moderna.

"Ini kerana wujud laporan di Eropah terhadap AstraZeneca, namun kita sedang meneliti kesan sampingan membabitkan semua jenis vaksin.

"Kita sudah meneliti latar belakang kadar pengagihan vaksin dan nampaknya, perangkaan sama dicatatkan di seluruh dunia.

"Justeru, ia perlu diperhalusi oleh jawatankuasa (keselamatan) kami," katanya.

Cooke sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya menaruh keyakinan bahawa suntikan vaksin AstraZeneca mempunyai manfaat melebihi sebarang risiko kesan sampingan.

Keyakinan itu disuarakan agensi terbabit meskipun beberapa negara Eropah memutuskan untuk menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca selepas ia didapati memberi kesan sampingan terhadap penerima, termasuk pembekuan darah.

Pakar dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan EMA bermesyuarat semalam bagi membincangkan isu mengenai vaksin berkenaan, sebelum satu kesimpulan dimaklumkan esok.

Tatkala jutaan dos vaksin dibangunkan secara bersama dengan Oxford University itu diberikan kepada penerima, segelintir daripadanya mengalami kesan pembekuan darah.

Kesan sedemikian sekali gus menyaksikan beberapa negara, termasuk tiga negara anggota terbesar EU iaitu Jerman, Perancis dan Itali membuat keputusan untuk menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca. - AFP

Berita Harian X