Selasa, 16 March 2021 | 2:21pm
Gambar fail menunjukkan pusat vaksinasi COVID-19 di stadium bola sepak Velodrome di Marseille, selatan Perancis, yang juga negara terkini menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan pusat vaksinasi COVID-19 di stadium bola sepak Velodrome di Marseille, selatan Perancis, yang juga negara terkini menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca. - Foto AFP

Lebih banyak negara gantung penggunaan vaksin AstraZaneca

PARIS: Puluhan negara termasuk Perancis, Itali dan Jerman menggantung penggunaan vaksin COVID-19 AstraZeneca berikutan kebimbangan terhadap kesan sampingan terutama darah beku.

Denmark menjadi negara pertama menggantung penggunaan vaksin itu pada 11 Mac lalu sebagai langkah berjaga-jaga diikuti Iceland dan Norway pada hari sama.

Malah, seorang petugas kesihatan di Norway maut akibat pendarahan otak selepas menerima vaksin AstraZeneca, biarpun pihak berkuasa kesihatan memaklumkan tada kaitan secara langsung dengan suntikan vaksin yang diberikan.

Bulgaria turut mengikut jejak menggantung penggunaan vaksin terbabit selain menyiasat kematian seorang wanita yang mempunyai sejarah perubatan selepas menerima suntikan vaksin berkenaan.

Siasatan mendapati wanita terbabit meninggal dunia akibat masalah jantung dan bedah siasat yang dilakukan tidak menemui sebarang kaitan dengan suntikan vaksin berkenaan.

Thailand dan Congo pula menangguhkan proses vaksinasi negara masing-masing serta mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Ireland dan Belanda turut mengambil keputusan menggantung penggunaan vaksin terbabit disusuli Indonesia, Jerman, Itali, Perancis, Slovenia, Sepanyol dan Latvia.

Mengumumkan perkara itu, Kementerian Kesihatan Jerman memaklumkan pihaknya sedang meneliti beberapa laporan kejadian darah beku di Eropah.

Naib Presiden Venezuela turut memberitahu negara itu tidak meluluskan penggunaan vaksin berkenaan berikutan laporan komplikasi daripada penerima suntikan.

Pakar dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dijangka mengadakan mesyuarat berhubung vaksin AstraZaneca, namun pengeluar vaksin itu menegaskan bahawa produk mereka tidak berisiko. - AFP

Berita Harian X