Selasa, 16 March 2021 | 8:17am
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Tiada bukti AstraZeneca tambah risiko darah beku

LONDON: Firma farmaseutikal AstraZeneca berkata semakan data keselamatan membuktikan vaksin COVID-19 mereka tidak meningkatkan risiko darah beku.

Semakan membabitkan lebih 17 juta penerima vaksin itu di Britain dan Kesatuan Eropah (EU) dilakukan selepas pihak berkuasa kesihatan beberapa negara menangguhkan penggunaannya kerana dikatakan menyebabkan pembekuan darah.

"Satu kajian dan semakan teliti terhadap semua data keselamatan merangkumi lebih 17 juta orang yang disuntik vaksin AstraZeneca di EU serta Britain tidak menunjukkan bukti peningkatan risiko.

"Ini termasuk bagi sebarang peringkat umur, jantina, kumpulan atau di negara tertentu," kata firma itu.

Pihak berkuasa di Ireland, Denmark, Norway, Iceland dan Belanda menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca selepas wujud isu pembekuan darah.

Austria pula berhenti menggunakan satu penghantaran vaksin itu minggu lalu dan sedang menyiasat satu kematian akibat masalah pembekuan darah.

Agensi Perubatan Eropah (EMA) berkata tidak ada petanda mengaitkan kes darah beku dengan vaksin AstraZenecaasi, seperti mana disuarakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Jumaat lalu.

AstraZeneca berkata 15 kes darah beku dalam urat (Sindrom Deep Vein Trombosis atau DVT) dan 22 kes darah beku di paru-paru dilaporkan setakat ini, sama seperti kesan sampingan bagi vaksin COVID-19 berdaftar lain.

Firma itu mengatakan ujian tambahan sudah dan sedang dilakukan olehnya serta pihak berkuasa kesihatan Eropah, dengan tiada ujian semula yang menunjukkan sebarang sebab untuk orang ramai berasa bimbang.

Laporan keselamatan bulanan itu akan disiarkan di laman EMA minggu berikutnya, umum firma itu.

Vaksin AstraZeneca, yang dihasilkan dengan kerjasama Universiti Oxford dibenarkan untuk digunakan di EU dan banyak negara tetapi belum dibenarkan oleh pengawal selia Amerika Syarikat (AS).

Firma itu sedang bersiap untuk mengemukakan permohonan kebenaran penggunaan kecemasan di AS dan mengharapkan data percubaan Tahap III di negara itu akan siap dalam beberapa minggu lagi.

WHO menyokong penggunaan vaksin AstraZeneca Jumaat lalu, namun Thailand menyertai sejumlah negara Eropah menangguhkan penggunaan suntikan itu berikutan isu pembekuan darah dalam kalangan penerima.

Bulgaria juga menyertai kumpulan negara Eropah yang berhenti menggunakan vaksin itu, selain Austria, Itali, Luxembourg, Estonia, Lithuania dan Latvia.

WHO mendapati vaksin AstraZeneca adalah yang paling murah dan paling banyak dihasilkan setakat ini dan akan menjadi vaksin penting dalam program vaksinasi di banyak negara membangun.

Jurucakapnya, Cik Margaret Harris, berkata vaksin itu 'sangat baik'.

"Amat penting bagi kita memahami bahawa, kita harus terus menggunakan vaksin AstraZeneca.

"Semua yang kita lihat adalah apa yang selalu kita perhatikan, segala petanda keselamatan mesti disiasat," katanya pada satu taklimat. - AGENSI

Berita Harian X