Isnin, 15 March 2021 | 6:45am
 Foto AFP
Foto AFP

Belanda gantung penggunaan vaksin AstraZeneca

THE HAGUE: Belanda mengikuti langkah beberapa negara apabila menggantung penggunaan vaksin COVID-19 AstraZeneca untuk tempoh dua minggu selepas Denmark dan Norway melaporkan berlaku kemungkinan kesan sampingan vaksin itu.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan berkata berdasarkan maklumat terbaru, Pihak Berkuasa Ubat-Ubatan Belanda menasihatkan sebagai langkah berjaga-jaga sementara menunggu siasatan lanjut, penggunaan vaksin AstraZeneca ditangguhkan sementara.

"Persoalan penting adalah sama ada aduan kesan sampingan itu selepas atau disebabkan vaksinasi. Seharusnya tiada keraguan mengenai vaksin.

"Kita masih perlu berhati-hati, maka adalah langkah bijak untuk menangguhkan sementara sebagai langkah berjaga-jaga," kata Menteri Kesihatan, Hugo de Jonge.

Negara seperti Norway dan Denmark menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca kerana kebimbangan mengenai pembekuan darah.

Bagaimanapun sehingga kini tiada kes seumpamanya di kesan di Belanda, kata kementerian itu.

Orang ramai yang sudah menerima vaksin dinasihatkan menghubungi doktor jika mengalami gejala tidak dijangka dan diketahui selepas tiga hari menerima suntikan.

Jumaat lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan tiada alasan untuk tidak menggunakan vaksin yang dibangunkan makmal Sweden-Britain AstraZeneca dan Universiti Oxford.

AstraZeneca mengatakan vaksinnya selamat. - AFP

Berita Harian X