Ahad, 14 March 2021 | 10:01pm
Ireland menghentikan buat sementara suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca. - Foto AFP
Ireland menghentikan buat sementara suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca. - Foto AFP

Ireland gantung suntikan vaksin AstraZeneca

DUBLIN: Ireland hari ini menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca, berikutan laporan darah beku dalam kalangan individu dewasa yang menerima suntikan pelalian itu di Norway.

Jurucakap Kementerian Kesihatan memaklumkan, pemberian suntikan vaksin itu yang sepatutnya berlangsung pagi tadi, dihentikan buat sementara waktu.

Keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Penasihat Imunisasi Kebangsaan Ireland (NIAC) mengesyorkan penggantungan pemberian vaksin AstraZeneca, bersandarkan faktor berjaga-jaga.

Percaturan sedemikian diambil selepas jawatankuasa berkenaan menerima laporan daripada Agensi Perubatan Norway, berhubung empat kes darah beku dalam kalangan individu dewasa, sebaik mendapatkan suntikan vaksin.

Timbalan Ketua Pegawai Perubatan Ireland, Ronan Glynn, dalam kenyataan pula memaklumkan, tiada kaitan langsung antara suntikan vaksin AstraZeneca dengan kesan darah beku berkenaan.

"Bagaimanapun, tindakan berkaitan sudah diambil sementara menanti maklumat selanjutnya berhubung kes ini," katanya.

NIAC dijadual mengadakan pertemuan hari ini dan bakal mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung perkara berkenaan.

Berdasarkan perangkaan kerajaan yang dikemas kini Rabu lalu, kira-kira 570,000 dos vaksin COVID-19 sudah diberikan di Ireland.

Daripada jumlah itu, sebanyak 109,000 dos dihasilkan syarikat farmaseutikal AstraZeneca.

Jurucakap AstraZeneca berkata analisis terhadap data keselamatan yang meliputi pemberian suntikan lebih 17 juta dos vaksin setakat ini tidak menunjukkan sebarang bukti mengenai kesan sampingan darah beku.

"Malah, kes berkaitan suntikan vaksin AstraZeneca ini lebih rendah berbanding insiden yang berlaku secara semula jadi dalam kalangan populasi yang tidak diberikan imunisasi," katanya dalam kenyataan.

Ireland yang mempunyai jumlah penduduk hampir lima juta merekodkan 4,534 kematian, angkara COVID-19, setakat ini.

Republik itu ketika ini sedang melaksanakan perintah berkurung fasa ketiga, selepas mengalami peningkatan kes secara mendadak, awal Januari lalu.

Kerajaan turut berdepan tekanan daripada pembangkang, selepas Ireland mengalami kekurangan bekalan vaksin dan kelewatan pelaksanaan program imunisasi Kesatuan Eropah. - AFP

Berita Harian X