Ahad, 14 March 2021 | 7:56am
Kesan pembekuan darah dilaporkan dikesan pada golongan muda selepas disuntik vaksin AstraZeneca. FOTO AFP
Kesan pembekuan darah dilaporkan dikesan pada golongan muda selepas disuntik vaksin AstraZeneca. FOTO AFP

Norway siasat kesan darah beku selepas suntikan vaksin

OSLO: Norway merekodkan tiga lagi kes pembekuan darah atau pendarahan otak membabitkan golongan muda selepas mereka disuntik vaksin AstraZeneca.

Perkara itu disahkan Agensi Perubatan Norway namun sehingga kini mereka masih menyiasat sama ada kes itu berkaitan dengan pengambilan vaksin atau sebaliknya.

Agensi itu berkata, insiden sama turut dilaporkan berlaku di beberapa negara Eropah sebelum ini.

"Walaupun tiada bukti kes berkenaan mempunyai kaitan dengan suntikan vaksin, namun individu berusia 50 tahun ke bawah yang berasa tidak sihat atau mempunyai kesan kebiru-biruan selepas suntikan diminta mendapatkan bantuan perubatan," kata agensi itu.

Sabtu lalu, agensi terbabit menerima beberapa laporan kesan sampingan membabitkan individu daripada golongan muda yang mendapatkan vaksin termasuk pendarahan di bawah kulit iaitu titik kecil atau tompok biru.

"Ini sesuatu yang serius kerana ia simptom pengurangan jumlah platlet darah. Hari ini kita menerima tiga lagi laporan kes serius membabitkan pembekuan darah atau pendarahan otak.

"Ia berlaku dalam kalangan individu lebih muda yang menerima vaksin AstraZeneca. Mereka kini menerima rawatan di hospital," kata agensi itu lagi.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata tiada kematian dikaitkan dengan vaksin dan pembekuan darah selepas Denmark, Norway dan Iceland pada Khamis menangguhkan sementara penggunaan AstraZeneca.

Keputusan itu dilakukan selepas mengambil kira kebimbangan mengenai pesakit yang menunjukkan risiko berlaku darah beku selepas melakukan suntikan.

Pihak pengilang dan pihak pemerhati perubatan Eropah bagaimanapun menegaskan vaksin terbabit selamat.

AstraZeneca, syarikat Anglo-Sweden yang membangunkan vaksin itu Universiti Oxford, sebelum ini mempertahankan keselamatan produknya.

"Keselamatan vaksin sudah dikaji secara meluas dalam ujian klinikal Fasa III dan data kajian mengesahkan ia secara umum ia selamat," kata jurucakapnya.

Sementara itu, Pengarah Kawalan Jangkitan dan Kesihatan Persekitaran di Institut Kesihatan Awam Norway, Geir Bukholm, berkata, agensi itu bertanggungjawab untuk mengambil tindakan susulan termasuk menyiasat kesan sampingannya selepas mengumumkan penangguhan pengambilan vaksin berkenaan. - AFP

Berita Harian X