Khamis, 11 March 2021 | 7:35am
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

Vaksin AstraZeneca bukan punca jururawat maut

THE HAGUE: Pemerhati ubat-ubatan Eropah mendedahkan hasil siasatan awal menunjukkan vaksin AstraZeneca yang digunakan di Austria bukan menjadi punca kematian seorang jururawat, selepas menerima suntikan.

Austria pada Isnin lalu mengumumkan pihaknya berhenti menggunakan dos vaksin yang dihasilkan oleh firma Britain-Sweden dengan Universiti Oxford, selepas jururawat berumur 49 tahun maut akibat 'masalah darah beku yang teruk' menerima suntikan vaksin COVID-19 beberapa dalam tempoh beberapa hari.

'Mangsa kedua' iaitu seorang wanita juga dirawat di hospital kerana mengalami embolisme paru-paru dan kini semakin pulih, kata Agensi Ubat Eropah (EMA).

Menurut EMA yang berpusat di Amsterdam, dua laporan lain mengenai 'kes kejadian tromboenboli sudah menerima suntikan dari kumpulan ini',

"Bagaimanapun, tidak ada petunjuk semasa sama ada vaksin itu adalah punca kepada keadaan berkenaan yang tidak disenaraikan sebagai kes sampingan selepas menerima vaksin", menurut agensi itu dalam satu kenyataan.

Empat negara Kesatuan Eropah (EU) lain iaitu Estonia, Latvia, Lithuania dan Luxembourgh juga menggantung program vaksinasi dari kumpulan vaksin berkenaan.

Kumpulan vaksin berkenaan turut dihantar ke 17 negara Eropah dan mengandungi jutaan suntikan.

"Walaupun kecacatan pada kualiti dianggap tidak mungkin berlaku pada tahap ini, kualiti kumpulan vaksin itu sedang disiasat," kata EMA.

Sejak kempen inokulasi bermula, terdapat kes terpencil dilaporkan di beberapa negara apabila ada yang meninggal dunia sejurus menerima vaksin.

Tiada kes yang dikaitkan dengan vaksin COVID-19. - AFP

Berita Harian X