X
Rabu, 24 Februari 2021 | 7:28am
 Bendera IAEA.
Bendera IAEA.

Badan pemantau nuklear PBB 'sangat prihatin' tapak nuklear Iran

VIENNA: Badan pemantau atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pihaknya 'sangat prihatin' dengan kemungkinan wujudnya bahan nuklear di tapak yang tidak diisytiharkan di Iran.

"Agensi sangat prihatin kemungkinan terdapat bahan nuklear yang tidak diisytiharkan di lokasi yang tidak diisytiharkan dan bahan nuklear itu kekal tidak dilaporkan oleh Iran berdasarkan perjanjian perlindungannya," menurut laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang dilihat oleh AFP.

"Selepas 18 bulan, Iran tidak memberikan penjelasan yang diperlukan, penuh dan boleh dipercayai secara teknikal terhadap kehadiran zarah bahan nuklear," kata laporan itu.

Tapak yang dipertikaikan itu terletak di daerah Turquzabad di Teheran, yang sebelumnya dikenal pasti oleh Israel sebagai lokasi aktiviti atom rahsia.

Sumber mengatakan bahawa tidak ada petunjuk bahawa tapak itu digunakan untuk memproses uranium, tetapi ia digunakan untuk menyimpannya pada akhir 2018.

Dalam laporan berasingan yang turut dikeluarkan semalam, IAEA mengatakan bahawa stok uranium yang diperkaya Iran kini lebih 14 kali melebihi had yang ditetapkan dalam perjanjian 2015.

Laporan itu mengatakan bahawa, pada 16 Februari, jumlah stok uranium yang diperkaya Iran adalah 2,967.8 kilogram (kg).

Had dalam perjanjian 2015 ditetapkan pada 300kg (660 paun) uranium diperkaya dalam bentuk sebatian tertentu, yang setara dengan 202.8 kg uranium dalam bentuk bukan sebatian.

Laporan IAEA ini didedahkan ketika Iran mula menyekat beberapa pemeriksaan lokasi oleh IAEA sebagai tindak balas terhadap penolakan AS menarik balik sekatan. - AFP

Berita Harian X