Selasa, 16 Februari 2021 | 8:57am
Gambar hiasan menunjukkan seorang sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah menyediakan suntikan vaksin AstraZeneca. - Foto AFP
Gambar hiasan menunjukkan seorang sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah menyediakan suntikan vaksin AstraZeneca. - Foto AFP

WHO beri lampu hijau bagi suntikan vaksin AstraZeneca

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan penggunaan kecemasan vaksin COVID-19 AstraZeneca untuk mula diedarkan kepada beberapa negara miskin.

"WHO hari ini menyenaraikan dua versi vaksin COVID-19 AstraZeneca-Oxford untuk kegunaan kecemasan, memberikan lampu hijau untuk diedarkan pada peringkat global melalui program COVAX," kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Pembantu Ketua Pengarah WHO, Dr Mariangela Simao, berkata dua versi vaksin itu dihasilkan oleh Institut Serum India (SII) dan Korea Selatan.

"Negara yang tidak mempunyai akses kepada vaksin akan mula melakukan suntikan vaksin terhadap pekerja kesihatan dan penduduk yang berisiko, sekali gus melengkapkan tujuan pengedaran COVAX.

"Kita perlu menekan keperluan untuk suntikan bagi mereka yang perlu diutamakan di mana saja.

"Untuk melakukannya, kita memerlukan dua perkara iaitu membesarkan kapasiti pengeluaran dan penyerahan awal vaksin pengeluar untuk dinilai WHO," katanya.

Penggunaan kecemasan yang dilakukan itu merangkumi prosedur menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19 sebagai prasyarat untuk vaksin di fasiliti COVAX.

WHO juga meluluskan negara-negara untuk mempercepatkan peraturan kelulusan bagi mengimport dan menguruskan vaksin COVID-19.

Setakat ini, vaksin Pfizer-BioNTech adalah satu-satunya yang diberikan lampu hijau bagi kegunaan kecemasan.

Vaksin AstraZeneca dari India dan Korea Selatan ketika ini adalah yang paling banyak diedarkan menerusi fasiliti COVAX.

Senarai pengedaran itu dikeluarkan pada 3 Februari lalu, membabitkan 337.2 juta dos dan pengedaran pertama dijangka pada lewat Februari ini.

Sebanyak 145 negara dijangka menerima dos yang mencukupi untuk inokulasi 3.3 peratus penduduk mereka pada pertengahan 2021.

Senarai pengedaran itu termasuk 240 juta dos dari AstraZeneca keluaran SII, 96 juta dos dikeluarkan di Korea Selatan dan 1.2 juta dos Pfizer. - AFP.

Berita Harian X