Ahad, 17 Januari 2021 | 4:14pm
Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian. - Foto AFP
Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian. - Foto AFP

Perancis dakwa Iran giat meningkatkan keupayaan nuklear

PARIS: Perancis mendakwa Iran sedang giat meningkatkan keupayaan senjata nuklear dan menggesa Tehran serta Washington kembali merundingkan perjanjian nuklear yang dimeterai pada 2015.

Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian, berkata projek pengayaan uranium Iran yang ditingkatkan sehingga 20 peratus baru-baru ini bermakna negara itu kini berupaya menghasilkan bom nuklear.

"Justeru, tindakan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, melaksanakan kempen tekanan maksimum terhadap Iran hanya meningkatkan risiko dan ancaman di rantau itu.

"Ini perlu dihentikan kerana Iran sedang dalam proses meningkatkan keupayaan (senjata) nuklear," katanya dalam satu temu bual dengan akhbar Journal du Dimanche yang disiarkan semalam.

Iran dilaporkan melanggar perjanjian nuklear yang dimeterai pada 2015 dan baru-baru ini memulakan rancangan memperkayakan uranium sehingga 20 peratus di loji nuklear bawah tanah Fordow.

Tahap yang sama pernah dicapai Iran sebelum negara itu memeterai perjanjian dengan kuasa dunia lain untuk mengehadkan pembangunan senjata nuklearnya.

Republik Islam itu melanggar perjanjian berkenaan selepas Trump mengeluarkan AS daripada perjanjian itu pada 2018.

AS turut mengenakan sekatan tambahan terhadap Iran susulan tindakan itu, yang kini mungkin mendorong Tehran merumitkan usaha bakal Presiden AS, Joe Biden, untuk menyertai semula perjanjian nuklear terbabit.

Perjanjian nuklear itu bertujuan melanjutkan tempoh diperlukan Iran untuk hasilkan bahan fisil bagi pembuatan bom nuklear, daripada dua hingga tiga bulan kepada sekurang-kurangnya setahun.

Sebagai balasan kepada pematuhan itu, semua sekatan antarabangsa terhadap Iran akan ditamatkan.

Diplomat Barat sebelum ini dilaporkan berkata, tindakan Iran berulang kali melanggar perjanjian itu sudah memendekkan tempoh berkenaan kepada kurang setahun.

Sementara itu, Iran pula mendakwa pembangunan nuklear yang dilaksanakan adalah bagi tujuan mendapatkan tenaga, bukannya bagi membangunkan senjata.

Le Drian berkata, biar pun Iran dan AS bersetuju untuk kembali pada perjanjian sebelum ini, ia masih belum mencukupi untuk mengawal keadaan tegang sekarang.

"Keputusan sukar diperlukan berhubung pembangunan peluru berpandu balistik dan tindakan Iran yang menjejaskan kestabilan rantau itu," katanya. - AGENSI

Berita Harian X