Rabu, 13 Januari 2021 | 11:01pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

COVID-19: Industri farmaseutikal gesa patuh jadual dos vaksin

GENEVA: Industri farmaseutikal hari ini menggesa negara serata dunia supaya mematuhi jadual selang waktu ditetapkan untuk pemberian dos vaksin COVID-19.

Mereka menegaskan, sebarang penangguhan suntikan kedua vaksin berkenaan, haruslah berasaskan sains.

Beberapa negara dilaporkan berhasrat menangguhkan suntikan kedua vaksin membabitkan dua dos itu, bagi memaksimumkan bilangan orang dilindungi menerusi suntikan pertama.

Namun, dalam satu kenyataan bersama oleh Persekutuan Persatuan dan Pengilang Farmaseutikal Antarabangsa (IFPMA) dengan pelbagai pihak lain yang berkaitan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, industri terbabit berkata, mereka menyokong pematuhan kepada pemberian dos berdasarkan hasil ujian klinikal.

Mereka turut menekankan, pematuhan kepada sains itu akan membantu mengatasi skeptisisme terhadap vaksin COVID-19, sekali gus menamatkan krisis pandemik terbabit.

"Industri biofarmaseutikal memahami cabaran dihadapi kerajaan dalam usaha kecemasan menangani tekanan akibat pandemik itu ke atas sistem penjagaan kesihatan, masyarakat dan ekonomi.

"Dalam keperluan mendesak untuk vaksin COVID-19 diperoleh seramai mungkin orang, timbul perbincangan mengenai strategi pemberian dos yang berkemungkinan tidak disokong oleh pelabelan sah atau data klinikal yang diterbitkan.

"Industri biofarmaseutikal menyokong pematuhan kepada pemberian dos yang sudah dikaji dalam ujian klinikal," menurut kenyataan itu.

Susulan bekalan vaksin yang terhad, Denmark dilapor menetapkan selangan waktu suntikan kedua hingga enam minggu, manakala Britain pula memaklumkan bahawa negara itu boleh menunggu hingga 12 minggu.

Malah, Jerman juga sedang mempertimbang untuk menangguhkan suntikan kedua vaksin itu melepasi standard 21 hari. - AFP

Berita Harian X