Jumaat, 11 Disember 2020 | 9:18pm
Pengeluar vakisn COVID-19, Sanofi dari Perancis mengumumkan kelewatan vaksin keluaran mereka. - Foto EPA
Pengeluar vakisn COVID-19, Sanofi dari Perancis mengumumkan kelewatan vaksin keluaran mereka. - Foto EPA

Vaksin COVID-19 Sanofi, GSK hanya siap akhir 2021

PARIS: Sanofi dari Perancis dan GSK dari Jerman hari ini, menjelaskan vaksin COVID-19 buatan mereka hanya dijangka siap pada akhir tahun depan.

Ia berikutan beberapa keputusan interim menunjukkan tindak balas rendah imunisasi terhadap golongan dewasa.

Pengumuman itu disifatkan halangan besar dalam usaha mengekang pandemik COVID-19 yang sudah mengorbankan hampir 1.6 juta orang selain menjangkiti hampir 71 juta mangsa di seluruh dunia, sejak dikesan di China setahun lalu.

Sanofi dan GSK dan berkata kelewatan dalam program vaksin COVID-19 itu adalah bagi membolehkan penyelidikan bagi meningkatkan tindak balas imunisasi dalam kalangan penerima dewasa.

Kedua-dua syarikat farmaseutikal itu, dalam satu kenyataan, berkata potensi ketersediaan vaksin itu dianjak dari pertengahan 2021 ke suku keempat tahun depan.

Vaksin dibangunkan Sanofi dengan kerjasama GSK itu berasaskan teknologi digunakan Sanofi bagi menghasilkan vaksin influenza bermusim dan agen imunologi diterajui GSK.

"Hasil interim kajian Fasa 1/2 menunjukkan tindak balas imun setanding dengan pesakit pulih daripada COVID-19 bagi dewasa berusia 18 hingga 49 tahun.

"Bagaimanapun, tindak balas imun dikesan adalah rendah bagi penerima yang lebih tua, mungkin disebabkan kepekatan antigen tidak mencukupi," katanya.

Penghasilan vaksin mencetuskan persoalan mengenai masalah keselamatan tidak dijangka yang mungkin timbul ketika jumlah orang  menerima vaksin meningkat menjadi jutaan dan mungkin berbilion orang.

Naib Presiden Eksekutif, Thomas Triomphe dan Ketua Sanofi, Pasteur, berkata mereka sangat mengutamakan kesihatan awam.

"Kami kecewa dengan kelewatan diumumkan hari ini, tetapi semua keputusan adalah berasaskan sains dan data yang tidak boleh diabaikan.

"Kami sudah mengenal pasti kaedah maju dan kekal yakin serta komited untuk menghasilkan vaksin yang selamat lagi berkesan," katanya.

Russia dan China sudah memulakan kempen inokulasi dengan vaksin dihasilkan secara domestik walaupun kurang pemeriksaan keselamatan manakala beberapa vaksin lain sedang dibangunkan di Barat. - AFP

Berita Harian X