Isnin, 16 November 2020 | 3:08pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Memadai disimpan dalam peti sejuk normal'

PARIS: Vaksin COVID-19 sedang dibangunkan Sanofi tidak memerlukan suhu terlampau sejuk, sebaliknya memadai disimpan dalam peti sejuk normal.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh ketua syarikat berpangkalan di Paris itu, Olivier Bogillot, semalam.

Kenyataan itu menyusul selepas syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat (AS), Pfizer, bersama BioNTech dari Jerman, mengumumkan keberkesanan vaksin sedang dibangunkan oleh mereka terbukti mencapai 90 peratus.

Bagaimanapun, vaksin itu mesti disimpan dalam suhu -70 darjah Celsius, iaitu di luar kemampuan peti beku dimiliki kebanyakan hospital dan apatah lagi peralatan domestik ketika ini.

"Vaksin kami akan seperti vaksin selesema, ia boleh disimpan dalam peti sejuk anda.

"Ini akan menjadi satu kemudahan bagi sesetengah negara," kata Bogillot kepada saluran CNews.

Beliau berkata, vaksin sedang dibangunkan Sanofi itu dijangka bersedia untuk diedarkan pada Jun tahun depan.

Katanya, hasil ujian Fasa Dua ke atas vaksin berkenaan yang membabitkan ratusan individu, akan diumumkan pada awal bulan depan.

Jika keputusannya adalah positif, ujian Fasa Ketiga membabitkan ribuan orang akan dimulakan.

"Vaksin Pfizer 'sedikit lebih maju' dalam proses pembangunan, namun sebuah makmal tidak akan berupaya membekalkan dos kepada seluruh planet.

"Kita akan memerlukan beberapa pemenang pada akhir perlumbaan ini," katanya sambil memaklumkan produk Sanofi itu akan dijual pada harga 'mampu milik' tanpa memberikan perincian lanjut. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X