Jumaat, 13 November 2020 | 11:03am
Ali Sakallioglu menerima rawatan 222 hari di hospital akibat COVID-19. - Foto Mail Online
Ali Sakallioglu menerima rawatan 222 hari di hospital akibat COVID-19. - Foto Mail Online

Pesakit paling lama hidap COVID-19 di Britain pulang selepas 7 bulan terima rawatan

CATFORD, LONDON: Lebih tujuh bulan bertarung nyawa, seorang pesakit COVID-19 di Britain akhirnya pulang ke pangkuan keluarga selepas 222 hari menerima rawatan akibat virus itu.

Ali Sakallioglu, 56, yang disifatkan sebagai pesakit COVID-19 paling lama di Britain menerima rawatan rapi berikutan koma selepas dijangkiti COVID-19 yang kini membunuh lebih 50,000 orang di United Kingdom.

Ali yang juga seorang pemandu teksi mengalami serangan jantung selain menderita strok, kegagalan paru-paru dan organ serta sepsis.

Lebih menyedihkan apabila ahli keluarga Ali diberitahu sebanyak tiga kali bahawa lelaki itu akan menemui ajal akibat penyakit yang dihadapinya.

Bagaimanapun bagi Ali ia ternyata tidak mematahkan semangatnya untuk melawan virus itu dan ia ternyata berbaloi apabila beliau akhirnya disahkan bebas COVID-19.

Ali yang berharap dapat kembali bekerja sebagai pemandu teksi, dibenarkan pulang ke rumahnya di Catford, di tenggara London pada Armistice Day.

Bercakap kepada akhbar the Sun, datuk kepada sembilan cucu itu memberi semangat buat rakyat Britain dengan menegaskan bahawa semua pihak boleh menumpaskan COVID-19 bersama.

"Britain, kita boleh melakukannya. Kita boleh menewaskan COVID-19 bersama dan memenangi peperangan ini seperti mana kita memang Perang Dunia pertama dan kedua," katanya.

Ali turut menggesa rakyat Britain mematuhi peraturan dibuat kerajaan dalam usaha memerangi COVID-19.

Menurut the Sun, Ali yang menghidap diabetes tahap satu, mengalami gejala COVID-19 pada akhir Mac lalu di mana ketika itu Britain pertama kali menguatkuasakan perintah sekatan nasional.

Dengan mematuhi nasihat kerajaan ketika itu, Ali kemudiannya menghubungi talian kecemasan 111, di mana ketika itu mereka menyuruhnya supaya melakukan kuarantin kendiri.

Berdasarkan laporan the Sun, Ali bagaimanapun dikejarkan ke Hospital Universiti Lewisham pada awal April berikutan keadaannya semakin teruk sebelum disahkan positif COVID-19.

Katanya, beliau kemudiaan menerima rawatan di Hospital King College di Camberwell, bagi pembedahan selepas mengalami serangan jantung dan diletakkan dalam keadaan koma selama tiga bulan.

Beliau kemudiannya dibawa ke pusat penjagaan untuk membantu proses penyembuhan termasuk keupayaan untuk berjalan semula.

Sebelum ini pada bulan lalu, seorang lagi rakyat Britain, Mark Gregory, 58, yang menderita COVId-19 selama enam bulan juga dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan di Hospital Besar Weston, Somerset pada April. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X