Ahad, 8 November 2020 | 5:05pm
Orang ramai menjalani saringan COVID-19 di Jutland Utara, Denmark, selepas mutasi baru virus itu yang boleh berpindah daripada cerpelai kepada manusia dikesan. - Foto AFP
Orang ramai menjalani saringan COVID-19 di Jutland Utara, Denmark, selepas mutasi baru virus itu yang boleh berpindah daripada cerpelai kepada manusia dikesan. - Foto AFP

Mutasi virus COVID-19 tidak jejas pembangunan vaksin - WHO

COPENHAGEN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata umum tidak perlu bimbang mutasi baru COVID-19 daripada cerpelai yang dikenali sebagai 'Kluster 5', mungkin merencatkan usaha pembangunan vaksin.

Pengarah Serantau WHO Eropah, Dr. Hans Kluge, berkata kebimbangan terhadap kesan mutasi yang ditemui di Denmark itu memang wajar tetapi perlu disiasat lagi memandangkan ia adalah kombinasi baru.

Namun, beliau menyokong keputusan kerajaan Denmark untuk membunuh semua cerpelai di negara itu sebagai langkah pencegahan dan menguji sehingga 280,000 penduduk Denmark di Jutland Utara, di mana mutasi virus itu mula dikesan.

"Tindakan pantas Denmark dan negara jiran berkongsi pengetahuan mengenai mutasi virus baru daripada cerpelai turut meningkatkan pemahaman terhadap kesannya kepada manusia," katanya.

Kelmarin, pakar WHO yang berpusat di Geneva berkata ketika ini tidak ada bukti bahawa mutasi virus SARS-CoV-2 pada cerpelai di Denmark akan mempengaruhi keberkesanan vaksin masa depan untuk COVID-19.

Ketua Saintis WHO, Soumya Swaminathan, berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai implikasi mutasi spesifik itu.

"Baik baik dari segi penularan, keparahan klinikal COVID-19, tindak balas imun atau potensi keberkesanan vaksin, kita perlu tunggu dan lihat apa implikasinya," katanya.

Pada 5 November lalu, pihak berkuasa Denmark melaporkan 12 kes jangkitan COVID-19 berpunca daripada rantaian variasi berkaitan dengan cerpelai dari SARS-CoV-2 iaitu virus yang menyebabkan pandemik COVID-19 sekarang.

Menurut kenyataan WHO Eropah, semua 12 kes itu tinggal di Jutland Utara dan mulai sakit September lalu, dengan lapan terbabit dalam industri perladangan cerpelai dan empat penduduk tempatan.

Varian khusus itu menunjukkan gabungan mutasi yang tidak pernah ditemui dan ujian makmal menunjukkan rantaian terbabit boleh mengurangkan tindak balas peneutralan antibodi terhadap SARS-CoV-2.

Penemuan itu adalah hasil kajian dan kerjasama antarabangsa yang sedang dilakukan untuk mengesahkan status varian baru itu, menurut WHO Eropah.

Ladang cerpelai di beberapa negara Eropah menunjukkan bahawa virus itu dapat berpindah dari haiwan itu kepada manusia, sekali gus menimbulkan kebimbangan berlaku perubahan genetik ketika perpindahan.

Denmark melaporkan 1,050 jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam, dengan jangkitan yang disahkan berjumlah 54,230 kes sementara kematian meningkat kepada 187 orang, menurut Institut Serum Denmark Statens (SSI).

Ketika dunia sedang berusaha mengatasi wabak itu, Perancis, China, Russia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) berlumba-lumba menghasilkan vaksin.

Menurut laman sesawang WHO pada 3 November lalu, terdapat 202 calon vaksin COVID-19 yang dibangunkan di seluruh dunia dan 47 daripadanya kini menjalani ujian klinikal. - AGENSI

Berita Harian X