Selasa, 3 November 2020 | 10:30am
Pengarah Eksekutif Program Kecemasan WHO, Mike Ryan. Foto AFP
Pengarah Eksekutif Program Kecemasan WHO, Mike Ryan. Foto AFP

Pakar WHO, China lancar misi cari asal usul COVID-19

GENEVA: Siasatan secara maya bagi mengesan asal usul COVID-19 membabitkan pakar dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan China dimulakan Jumaat lalu, selaras dengan tuntutan yang dibuat lebih 100 negara sebelum ini.

Misi terbabit, yang akan merungkai asal usul patogen terbabit pada haiwan, turut merangkumi lawatan lapangan ke Wuhan, China di mana virus itu pertama kali dikesan, namun tarikhnya belum ditetapkan.

Pengarah Eksekutif Program Kecemasan WHO, Mike Ryan, berkata beliau berharap pasukan pakar dapat memulakan siasatan di lapangan tetapi menganggap siasatan secara maya adalah langkah pertama yang penting.

"Adalah penting bagi kita menyiasat dan membina keyakinan dalam kalangan pakar, saintis dan antara kerajaan.

"Wabak seumpama COVID-19 akan berlaku lagi di masa depan dan kita perleu bersedia dengan mekanisme berteraskan kepercayaan bagi menghadapinya bersama.

"Amat sukar bagi kita bekerja dalam suasana di mana pandemik ini dipolitikkan, sukar bagi saintis melakukan tugas mereka dalam keadaan sebegini," katanya.

WHO baru-baru ini mengeluarkan amaran supaya semua negara berwaspada kerana COVID-19 mula meningkat secara mendadak dengan ketara sejak kebelakangan ini.

Ryan juga berkata penyelidikan mungkin dilakukan di luar China kerana WHO mahukan penyelidikan menyeluruh yang berterusan lagi komprehensif di China dan mana-mana negara lain.

Suruhanjaya Kesihatan Nasional China, dalam satu kenyataan Sabtu lalu, berkata pakar dari negara itu sudah membentangkan hasil kajian mereka mengenai penularan virus itu dalam perjumpaan secara maya.

Ia termasuk jangkitan virus terbabit dan asal-usulnya daripada haiwan manakala kumpulan pakar antarabangsa membentangkan hasil kajian global mengenai asal usul virus itu.

Kedua-dua pihak juga bersetuju bertukar hasil kajian saintifik berkaitan asal usul virus itu.

WHO tidak menamakan saintis yang mengambil bahagian dalam misi terbabit, namun memberi jaminan mereka adalah pakar dalam bidang masing-masing dengan pengalaman luas di serata dunia.

Misi terbabit dijangka menggabungkan pakar kesihatan manusia dan haiwan dari pelbagai negara, yang bukan hanya bernaung di bawah WHO.

Sebaliknya, ia turut membabitkan pakar di bawah Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia. - AGENSI

Berita Harian X