Ahad, 26 Julai 2020 | 6:09pm

Suhu di kepulauan Kutub Utara Norway capai rekod tertinggi

OSLO: Suhu di kepulauan Svalbard Norway, yang terletak di pertengahan antara daratan dan Kutub Utara, merekodkan suhu tertinggi dalam rekod iaitu 21.7 darjah Celsius Jumaat lalu, kata Institut Meteorologi Norway.

Suhu di kepulauan Kutub Utara kini dilaporkan panas lebih cepat berbanding lokasi lain di bumi, yang turut mengundang risiko ke bahagian lain di Kutub Utara dari Alaska hingga ke Siberia, mengikut laporan yang dikeluarkan tahun lalu di Norway.

Menurut ciapan Twitter Institut Meteorologi Norway, rekod selama 41 tahun itu dipecahkan di Longyearbyen.

"Suhu yang diukur adalah 21.7 darjah Celsius, iaitu perbezaan 0.4 darjah lebih tinggi berbanding rekod sebelumnya pada 1979.

"Longyearbyen, yang mempunyai kira 2,000 penduduk, adalah penempatan utama di Svalbard, terletak kira-kira 1,300 kilometer dari Kutub Utara," katanya.

Pusat Pengajian Iklim Norway pula berkata suhu purata Februari di Svalbard melonjak antara tiga hingga lima darjah Celsius sejak awal 1970-an.

"Ia dijangka boleh meningkat sebanyak 10 darjah Celsius menjelang 2100, jika pelepasan gas rumah hijau dunia terus meningkat.

"Kenaikan suhu akan mencairkan tanah beku, yang berpotensi memendapkan banyak bangunan, jalan raya dan lapangan terbang serta boleh mengakibatkan tanah menggelongsor atau runtuh," katanya.

Pemanasan iklim juga mengancam hidupan liar Artik seperti beruang kutub dan anjing laut yang bergantung pada lapisan ais sebagai perlindungan. - AFP

Berita Harian X