Sabtu, 27 Jun 2020 | 2:34pm
(Gambar fail) Cebisan pesawat penumpang Ukraine yang terhempas selepas dibedil peluru berpandu pada 8 Januari lalu. - FOTO AFP
(Gambar fail) Cebisan pesawat penumpang Ukraine yang terhempas selepas dibedil peluru berpandu pada 8 Januari lalu. - FOTO AFP

Iran hantar kotak hitam ke Perancis bulan depan

PARIS: Iran akan menghantar kotak hitam pesawat penumpang Ukraine yang terhempas, Januari lalu, ke negara ini pada bulan depan, kata penyiasat penerbangan Perancis, semalam.

Pasukan bersenjata Tehran tersilap tembak pesawat berkenaan dalam insiden yang mengorbankan kesemua 176 penumpangnya

Iran meminta bantuan untuk membaiki dan memuat turun data daripada perakam suara kokpit serta perakam data pesawat bagi Penerbangan 752 Ukraine International Airlines, ciap Pihak Berkuasa Siasatan Keselamatan Penerbangan Awam melalui Twitter.

"Kerja teknikal dirancang bermula 20 Julai ini. Siasatan keselamatan diketuai oleh Iran," katanya.

Pesawat Boeing 737 itu dibedil dua peluru berpandu sebelum terhempas sejurus berlepas dari lapangan terbang Tehran pada 8 Januari lalu.

Beberapa hari kemudian, Iran mengakui tenteranya tersilap tembak jatuh pesawat yang menuju ke Kiev itu.

Sebilangan besar penumpang pesawat terbabit adalah warga Kanada, dan Ottawa menuntut selama berbulan-bulan supaya Iran - yang tidak memiliki kepakaran teknikal untuk menyahkod kotak hitam - menghantar item itu ke luar negara bagi membolehkan kandungannya dianalisis.

Kotak hitam terbabit dijangka mengandungi maklumat mengenai detik terakhir sebelum pesawat berkenaan ditembak.

Sebelum ini, Iran memaklumkan, kotak hitam berkenaan lewat dihantar susulan wabak COVID-19 yang menyaksikan kebanyakan penerbangan antarabangsa dibatalkan. - AFP

Berita Harian X