Selasa, 26 Mei 2020 | 9:12pm
Jurucakap WHO, Clare Nullis Kapp.
Jurucakap WHO, Clare Nullis Kapp.

Gelombang panas tingkatkan risiko COVID-19

GENEVA: Agensi Cuaca Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran COVID-19 akan meningkatkan risiko kesihatan awam berikutan keadaan musim panas terik di hemisfera utara.

Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) itu mendesak negara berkenaan segera melakukan persiapan bagi memastikan rakyatnya selamat terutama ketika berlaku gelombang panas, bagi mengelakkan penyebaran virus 19 itu.

Tahun ini, peningkatan suhu dijangka memecahkan rekod gelombang panas baharu di hemisfera utara.

Jurucakap WHO, Clare Nullis Kapp, dalam sidang media secara maya hari ini, berkata, tahun ini bumi sedang mengalami keadaan paling panas yang tidak pernah pernah direkodkan sebelum ini.

"COVID-19 ini meningkatkan risiko kesihatan yang berpunca daripada gelombang cuaca panas dan menyebabkan usaha mengekang wabak semakin sukar.

"Agensi PBB hari ini sedang bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkasakan langkah dan persiapan bagi memastikan orang ramai selamat biarpun dalam pandemik COVID-19," katanya.

Tambah beliau, maklumat berkaitan mengenai pengudaraan, penduduk berisiko tinggi dan peralatan perlindungan diri (PPE) di hebahkan supaya pembuat dasar dapat menghadapi ancaman bahang panas dan COVID-19 secara serentak.

Di tempat tertentu, nasihat munasabah ketika cuaca panas ialah supaya mencari tempat berhawa dingin, namun ia bercanggah dengan nasihat bagi menghadapi ancaman COVID-19.

Kata Nullis Kapp, India ketika ini dilaporkan mengalami gelombang panas melampau dengan suhu hingga 47.5 darjah celsius di bandar Churu di barat laut Rajasthan.

"Negara itu kini mengalami gelombang panas dan pada masa sama, ia dalam proses melonggarkan langkah kawalan COVID-19.

"Gelombang panas kini berlaku lebih kerap dan lebih ketara akibat perubahan iklim, sekali gus memberi tekanan yang lebih besar terhadap kesihatan dan juga sistem kesihatan manusia," katanya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X