Jumaat, 15 Mei 2020 | 5:45pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

COVID-19: Tiada perbezaan dalam rawatan virus menggunakan hydroxychloroquine - dua kajian

PARIS: Merawat pesakit COVID-19 dengan ubat malaria hydroxychloroquine (HCQ) tidak memberi kesan positif dan menyebabkan komplikasi kesihatan yang lain, dua kajian baharu menunjukkan hari ini.

Anti-inflamasi itu disebut-sebut oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump antara lain sebagai 'pengubah permainan' yang berpotensi, selepas kajian awal di makmal menunjukkan ia mungkin dapat mencegah virus terbabit "meniru".

Tetapi beberapa kajian selanjutnya - termasuk satu yang dibiayai oleh kerajaan AS - nampaknya telah memadamkan harapan bahawa HCQ dapat membantu pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat COVID-19.

Dalam kajian pertama yang dikeluarkan hari ini, penyelidik di Perancis memantau 181 pesakit yang dimasukkan ke hospital berikutan radang paru-paru akibat COVID-19 dan yang memerlukan oksigen.

Seramai 84 orang dirawat dengan HCQ dan 97 tidak.

Mereka tidak menemui perbezaan yang bermakna antara kedua-dua kumpulan sama ada untuk dipindahkan ke rawatan intensif, meninggal dunia dalam masa tujuh hari atau mengalami sindrom gangguan pernafasan akut dalam masa 10 hari.

"Hydroxychloroquine telah mendapat perhatian di seluruh dunia sebagai rawatan berpotensi untuk COVID-19 kerana hasil positif dari kajian kecil," kata penulis penyelidikan itu, yang diterbitkan dalam jurnal BMJ.

"Namun, hasil kajian ini tidak menyokong penggunaannya kepada pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 yang memerlukan oksigen."

Kajian kedua menyaksikan penyelidik di China membahagikan 150 pesakit COVID-19 kepada dua kumpulan, salah satunya menerima HCQ.

Selepas empat minggu ujian menunjukkan kadar jangkitan yang sama di antara kedua-dua kumpulan, walaupun reaksi buruk terhadap rawatan lebih sering berlaku pada kumpulan HCQ.

Tahap keparahan atau tempoh gejala tidak berbeza antara setiap kumpulan.

Hydroxychloroquine dan sebatian yang berkaitan chloroquine telah digunakan selama beberapa dekad untuk merawat malaria, serta gangguan autoimun lupus dan rheumatoid arthritis (keradangan sendi).

Bulan lalu Agensi Ubat-ubatan Eropah memberi amaran bahawa tidak ada petunjuk HCQ dapat merawat COVID-19 dan mengatakan beberapa kajian telah menyaksikan masalah jantung yang serius dan kadang-kadang membawa maut kepada pesakit. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X