Jumaat, 15 Mei 2020 | 12:05pm

COVID-19: Vaksin perlu menjadi barangan awam global

PARIS: Pihak berkuasa Perancis menegaskan bahawa vaksin COVID-19 perlu dijadikan sebagai barangan awam global dan mudah diperoleh oleh kebanyakan negara yang terjejas akibat pandemik itu.

Justeru, mereka tidak begitu setuju dengan tindakan gergasi farmasi Perancis, Sanofi memberi keutamaan kepada Amerika Syarikat (AS) jika dapat menyediakan vaksin virus berkenaan pada masa akan datang, lapor agensi berita Xinhua.

Ketua Pegawai Eksekutif Sanofi, Paul Hudson dipetik oleh media AS pada hari Rabu sebagai berkata, bahawa 'pemerintah AS berhak untuk melakukan pra-pesanan terbesar kerana mereka melabur untuk mengambil risiko'.

Bagaimanapun, seorang pegawai kerajaan di Elysee memberitahu media Perancis: "Pengisytiharan bos Sanofi telah mengecewakan Presiden negara berkenaan kerana vaksin ini mesti menjadi barangan awam global ... vaksin sepatutnya disediakan untuk semua orang'.

"Vaksin terhadap COVID-19 harus menjadi kebaikan umum bagi dunia. Akses yang sama rata untuk semua virus (vaksin) tidak boleh dirundingkan," tulis Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe di Twitter.

Dia turut berkata, bahawa Pengerusi Sanofi, Serge Weinberg sudah memberinya 'semua jaminan yang diperlukan' berkenaan dengan pengedaran vaksin Sanofi di Perancis.

Sanofi adalah antara puluhan syarikat farmaseutikal yang kini mengusahakan projek vaksin terhadap COVID-19. Salah satu projeknya membabitkan kerjasama dengan Biomedical Advanced Research and Development Authority (BARDA), sebuah pejabat Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS untuk kesediaan dan tindak balas.

Ketua Bahagian Perancis Sanofi, Olivier Bogillot, memberitahu televisyen BFM bahawa 'matlamat syarikat itu ialah menyediakan vaksin ini bukan sahaja untuk AS tetapi juga Perancis dan Eropah'.

Namun, dia mengatakan bahawa Amerika pada masa ini cekap membuat pelaburan dalam penyelidikan vaksin dan meningatkan bahawa Kesatuan Eropah (EU) juga perlu lebih efisien untuk membantu kita dalam menyediakan vaksin ini dengan cepat. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X