Khamis, 16 April 2020 | 7:30am
Canselor Jerman, Angela Merkel pada sidang media mengenai langkah kerajaan Jerman bagi menangani wabak COVID-19 di Berlin. - Foto AFP.
Canselor Jerman, Angela Merkel pada sidang media mengenai langkah kerajaan Jerman bagi menangani wabak COVID-19 di Berlin. - Foto AFP.

COVID-19: Jerman rancang tarik balik sekatan, buka semula ekonomi

BERLIN: Jerman melancarkan rancangan untuk menarik balik beberapa sekatan yang dikenakan berikutan penularan wabak COVID-19, dengan mengambil langkah berhati-hati untuk membuka semula negara tanpa mencetuskan gelombang jangkitan baharu.

Jerman adalah antara negara terbesar di Eropah yang mengumumkan langkah tentatif untuk membuka semula ekonomi dan masyarakat.

Canselor Jerman, Angela Merkel mengumumkan langkah pertama untuk membatalkan sekatan bagi mengekang wabak COVID-19 yang menyebabkan ekonominya mengalami kemelesetan.

Sebilangan besar kedai akan dibenarkan dibuka setelah mereka mempunyai `rancangan bagi penjagaan kebersihan’, bagaimanapun sekolah mesti ditutup sehingga 4 Mei dan larangan mengadakan acara umum dikuatkuasa sehingga 31 Ogos ini.

"Kita harus terus berhati-hati," kata Merkel kepada wartawan di Berlin.

Sekolah secara beransur-ansur akan dibuka semula dengan keutamaan diberikan kepada murid-murid yang akan mengambil peperiksaan.

Kerajaan mendesak orang awam untuk memakai topeng muka ketika berbelanja atau menaiki pengangkutan awam, bagaimanapun tidak menjadikannya sebagai syarat seperti di negara jiran, Austria.

Dengan tawaran talian hayat kepada negara termiskin di dunia, G20 iaitu kumpulan peneraju ekonomi dunia berkata, ia akan menangguhkan sementara pembayaran hutang daripada negara terbabit.

Menurut Menteri Kewangan Arab Saudi, Mohammed Al-Jadaan, penangguhan itu akan membebaskan lebih daripada AS$20 bilion (RM86.86 bilion) hutang bagi negara terbabit untuk memfokuskan kepada membasmi wabak sekurang-kurangnya setahun,

Bagaimanapun, prospek ekonomi global tetap suram, dengan Jerman sudah berada dalam kemelesetan dan pengeluaran perindustrian Amerika Syarikat (AS) menurun sebanyak 6.3 peratus, iaitu kejatuhan terbesar dalam tujuh dekad. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X