Rabu, 15 April 2020 | 5:28pm
Ketua Eksekutif GlaxoSmithKline (GSK), Emma Walmsley
Ketua Eksekutif GlaxoSmithKline (GSK), Emma Walmsley

Dunia perlukan lebih daripada satu vaksin COVID-19

LONDON: Dunia memerlukan lebih daripada sejenis vaksin COVID-19 dan syarikat farmaseutikal perlu bekerjasama untuk mencipta senjata yang cukup berkesan bagi melawan novel coronavirus baharu itu.

Ketua Eksekutif GlaxoSmithKline (GSK), Emma Walmsley, berkata syarikatnya dan Sanofi SA sedang berusaha mencipta vaksin untuk melawan coronavirus yang cepat merebak ketika ini.

Mereka menjangkakan dapat memulakan ujian klinikal vaksin itu pada pertengahan kedua tahun ini dan jika berjaya, vaksin itu akan sedia untuk kegunaan awam pada pertengahan 2021.

Walmsley berkata, GSK bekerjasama dengan Sanofi untuk mendapatkan skala percubaan bagi vaksin wabak itu, namun ketika ini masih banyak perkara perlu dilakukan.

"Dunia memerlukan lebih daripada satu vaksin apabila memikirkan mengenai permintaan yang tinggi ketika krisis kesihatan dunia ini," katanya kepada BBC Radio.

Tambah beliau, vaksin pelengkap akan dicipta dengan menggabungkan protein antigen COVID-19 dari Sanofi serta teknologi pendemik GSK.

"Biasanya, ia memerlukan tempoh sedekad dan kadang kala lebih daripada itu untuk mencipta vaksin tetapi keadaan ini berlainan, ia diperlukan segera.

“Kami bekerjasama dengan badan kawal selia perubatan berkenaan untuk mencuba dan berusaha selagi boleh," katanya - AGENSI

Berita Harian X