Sabtu, 7 March 2020 | 6:17pm
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus - AFP
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus - AFP

Jadikan usaha kekang COVID-19 keutamaan tertinggi - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menegaskan, semua negara harus menjadikan usaha mengekang penularan wabak COVID-19 sebagai keutamaan tertinggi.

Menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, memperlahankan epidemik berkenaan adalah penting bagi membolehkan hospital membuat persediaan dan menyelamatkan nyawa.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, turut memberi amaran tiada bukti penularan virus itu akan berkurangan ketika musim panas yang menjelang tiba di hemisfera utara.

“Ketika ini, kita hampir mencapai 100,000 kes yang disahkan. (Epidemik ini) sedang berkembang secara geografi dan amat membimbangkan.

“Kami berterusan meminta semua negara menjadikan usaha mengekangnya keutamaan tertinggi mereka.

“Dalam dunia globalisasi ini, satu-satunya pilihan ialah mengambil tindakan bersama,” katanya pada taklimat harian kepada media.

Berdasarkan kompilasi jumlah kes oleh organisasi media, termasuk Reuters, ia sudah melepasi angka 100,000.

Setakat semalam, lebih 100,300 orang sudah dijangkiti di seluruh dunia, menurut satu penjumlahan oleh Reuters berdasarkan kenyataan daripada kementerian kesihatan dan pegawai kerajaan.

Kementerian Kesihatan Iran melaporkan COVID-19 sudah meragut 124 nyawa dengan 17 lagi kematian, setakat semalam, dan lebih 1,000 kes baharu didiagnosis dalam tempoh 24 jam.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Program Kecemasan WHO, Dr Mike Ryan, turut ditanya sama ada virus terbabit berkemungkinan tidak menular dengan sebegitu mudah ketika musim panas di Eropah.

“Kita masih belum tahu bagaimana virus ini dalam keadaan cuaca yang berbeza nanti. Kita perlu menganggap bahawa virus ini akan terus mempunyai kapasiti untuk merebak.

“Adalah satu harapan palsu untuk mengatakan ‘ya’ bahawa ia akan hilang ketika musim panas, seperti virus influenza. Ketika ini, tiada bukti untuk menunjukkan itu akan berlaku,” katanya. - REUTERS

Berita Harian X