Ahad, 29 Disember 2019 | 6:36pm
Pihak berkuasa Ukraine dan pemisah pro-Russia akan bertukar tahanan di medan pertempuran aktif di Kiev. - Foto Reuters
Pihak berkuasa Ukraine dan pemisah pro-Russia akan bertukar tahanan di medan pertempuran aktif di Kiev. - Foto Reuters

Pemisah, pihak berkuasa Ukraine setuju tukar tahanan

KIEV: Pihak berkuasa Ukraine dan pemisah pro-Russia di wilayah bergolak di timur negara itu dijangka akan bertukar tahanan di medan pertempuran aktif di sini.

Kiev dijangka menyerahkan beberapa polis anti-rusuhan kepada pemisah yang didakwa membunuh penunjuk perasaan ketika kebangkitan pro-Barat pada 2014.

Pertukaran terbaru itu dicapai selepas Presiden Russia, Vladimir Putin dan pemimpin Ukraine, Volodymyr Zelensky mengadakan pertemuan dua mata di Paris pada 9 Disember lalu.

Kedua-dua pemimpin bersetuju dengan sebahagian daripada langkah untuk meredakan perang yang masih aktif di Eropah itu.

Wakil pemisah di kubu kuat Donetsk, Daria Morozova berkata, Donetsk dan sebuah lagi kumpulan pemisah di Lugansk akan mendapat 87 banduan, manakala 55 orang lagi akan diserahkan kepada Kiev.

Pertukaran tahanan itu dijangka berlangsung berhampiran bandar Gorlivka di wilayah Donetsk.

Lebih 13,000 orang terbunuh sejak militia pro-Russia di timur Ukraine melancarkan gerakan untuk mendapatkan kemerdekaan pada 2014. - AFP

Berita Harian X