Rabu, 27 November 2019 | 9:43am
Pasukan keselamatan mencari mangsa terselamat dari runtuhan batu bata bangunan yang musnah akibat gempa bumi yang melanda Albania. - Foto REUTERS
Pasukan keselamatan mencari mangsa terselamat dari runtuhan batu bata bangunan yang musnah akibat gempa bumi yang melanda Albania. - Foto REUTERS

22 maut, ratusan cedera, gempa bumi landa Albania

DURRES (ALBANIA) : Pasukan penyelamat terpaksa bertungkus-lumus mencari di celah runtuhan batu bata bagi mencari mangsa yang terselamat dalam gempa bumi terkuat melanda Albania sejak 30 tahun lalu.

Sehingga kini, bencana itu sudah meragut lebih daripada 20 nyawa manakala ratusan lain tercedera.

Sepasukan anggota tentera, polis dan pekerja kecemasan dilihat menggeledah di sekitar kawasan runtuhan pangsapuri serta hotel, berhampiran barat laut perairan Adriatic yang terletak berdekatan pusat gegaran.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, setakat ini 22 individu disahkan terkorban dalam tragedi itu.

Sebahagian besar mangsa ditarik keluar daripada runtuhan di bandar Durres dan Thumane, iaitu sebuah pekan di bahagian utara ibu negara, Tirana.

Pasukan keselamatan terdiri dari anggota bomba, tentera dan polis berada di lokasi kejadian bangunan runtuh akibat gempa bumi di Albania. - Foto EPA
Pasukan keselamatan terdiri dari anggota bomba, tentera dan polis berada di lokasi kejadian bangunan runtuh akibat gempa bumi di Albania. - Foto EPA

Di kawasan kejiranan, Kurbin pula, seorang lelaki berusia lingkungan 50an maut selepas melompat keluar dari bangunan didiaminya kerana panik.

Seorang lagi mangsa maut dalam nahas jalan raya apabila gempa itu menyebabkan sebahagian besar jalan merekah.

Lebih daripada 40 penduduk pula berjaya diselamatkan menerusi usaha berterusan sebaik matahari mula terbenam.

Jurucakap kementerian pertahanan berkata, usaha menyelamat akan diteruskan dalam keadaan berhati-hati pada waktu malam.

“Seperti yang diketahui, operasi pada waktu malam adalah lebih sukar, justeru kami perlu berhati-hati,” katanya. - AFP

Berita Harian X