Rabu, 16 Oktober 2019 | 12:15pm
Penunjuk perasaan membakar kontena sampah ketika bantahan di Barcelona semalam. -AFP
Penunjuk perasaan membakar kontena sampah ketika bantahan di Barcelona semalam. -AFP

Keganasan Catalan, aktivis bantah hukuman penjara pemimpin pro-pembebasan

BARCELONA: Pemisah Catalan semalam menyekat jalan raya dan landasan kereta api dalam protes menentang keputusan Sepanyol memenjarakan sembilan pemimpin mereka, ketika kerajaan mengecam apa yang digelar ‘keganasan umum’ sehari selepas aktivis menyerbu lapangan terbang di sini.

Kumpulan pro-pembebasan melancarkan bantahan di luar pejabat kerajaan Sepanyol di beberapa bandar Catalan lewat semalam, dengan kira-kira 40,000 orang mengambil bahagian di sini dan 9,000 lagi di kubu kuat pemisah di Girona, menurut polis wilayah dan serantau.

“Terbukti apa yang kita hadapi sekarang ialah bukan pergerakan aman namun dianjurkan kumpulan menggunakan keganasan jalanan untuk memusnahkan kewujudan bersama dalam Catalonia,” kata kerajaan dalam satu kenyataan.

“Keganasan malam tadi di bandar seperti Barcelona, Tarragona, Girona dan Lerida adalah 'secara meluas,” kata kerajaan dalam satu kenyataan.

Beberapa laluan terputus di seluruh rantau timur laut itu termasuk AP-7 yang menghubungkan Barcelona ke Perancis, kata pegawai tempatan.

Di sini, polis mendakwa ratusan penunjuk perasaan bertopeng yang membaling bom api ke arah pegawai dengan tiga ditangkap.

Bantahan kelmarin di lapangan terbang El Prat bandar itu dianjurkan kumpulan Democratic Tsunami, aktivis bertembung dengan polis rusuhan ketika berusaha memasuki terminal.

Namun mereka berulang kali ditolak dengan polis beberapa kali melepaskan buih dan peluru getah ke arah penunjuk perasaan dalam bantahan yang memaksa pembatalan 110 penerbanga, kata pegawai lapangan terbang.

Walaupun keadaan mula putih di lapangan terbang selepas ratusan pengguna terkandas di terminal, tambahan 45 penerbangan dibatalkan pagi semalam, kata pihak berkuasa lapangan terbang Sepanyol, AENA.

“Apa yang dikatakan penunjuk perasaan ialah, menyumbat orang dalam penjara tidak menyelesaikan apa-apa. Apa yang diperlukan adalah berbincang dan mencari penyelesaian demokratik,” kata Speaker bebas Parlimen Catalan, Roger Torrent katanya mneegaskan matlamat pergerakan pro-pembebasan adalah memaksa Madrid berunding pungutan suara penentuan sendiri.

Pemisah Catalan berang dengan keputusan Mahkamah Agung kelmarin apabila menyerahkan hukuman penjara berat antara sembilan dan 13 tahun kepada pemimpin disabitkan atas kesalahan hasutan berkaitan pungutan suara 2017 dan pengisytiharan kemerdekaan seketika.

Perkhidmatan kecemasan berkata, 131 orang cedera dalam bantahan kelmarin, 115 daripadanya di lapangan terbang dengan bakinya di sini dan tempat lain. -AFP

Berita Harian X