Jumaat, 12 Julai 2019 | 2:40pm
PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto Reuters
PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto Reuters

Majlis Hak Asasi PBB undi untuk siasat pembunuhan dadah Duterte

GENEVA : Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) menjalankan undian semalam berhubung penubuhan jawatankuasa khas untuk menyiasat pembunuhan dilakukan ketika perang menentang penjenayah dadah oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

Langkah berkenaan disifatkan aktivis sebagai seharusnya dilaksanakan sejak dahulu.

Kerajaan Duterte berkata, polis sudah membunuh 6,000 individu dalam kejadian tembakan membabitkan mereka yang disyaki pengedar dadah sejak dipilih pada 2016 atas platform menghapuskan jenayah.

Jumlah berkenaan disangkal aktivis yang mendakwa ia membabitkan pembunuhan sekurang-kurangnya 27,000 individu.

Resolusi pertama ke atas Filipina diketuai oleh Iceland itu diterima menerusi undian 18 negara yang menyokong dan 14 negara menentang, termasuk China manakala 15 negara lagi mengambil sikap berkecuali, termasuk Jepun.

“Ini bukan sekadar memberi keadilan kepada semua keluarga mangsa hukuman tanpa bicara, tetapi juga mesej kepada semua pihak yang memuji Presiden Duterte.

“Perang ke atas dadah ini seperti yang berulang kali kami tegaskan adalah satu jenayah,” kata Ellecer ‘Budit’ Carlos dari kumpulan hak asasi manusia, iDfend berpangkalan di Manila.

Beliau menyatakan demikian dalam taklimat media di Geneva.

Aktivis Filipina berkata, puluhan ribu penduduk dibunuh polis khususnya dari komuniti miskin dengan menggunakan alasan memerangi penjenayah dadah. - Reuters

Berita Harian X