Sabtu, 29 Jun 2019 | 8:46pm
ANGGOTA bomba bergelut mengawal kebakaran hutan di selatan Perancis susulan suhu tinggi yang memecahkan rekod. - Foto AFP
ANGGOTA bomba bergelut mengawal kebakaran hutan di selatan Perancis susulan suhu tinggi yang memecahkan rekod. - Foto AFP

Eropah diancam kepanasan melampau, tiga maut di Itali

PARIS: Tiga kematian dilaporkan di Itali akibat gelombang kepanasan ketika ratusan anggota bomba bergelut mengawal kebakaran hutan di selatan Perancis hari ini susulan suhu tinggi yang memecahkan rekod melanda beberapa bahagian Eropah.

Di wilayah Gard, yang mencatatkan suhu tertinggi di Perancis semalam dengan 45.9 darjah Celsius, kebakaran memusnahkan kira-kira 600 hektar tanah selain beberapa rumah dan kenderaan, kata perkhidmatan kecemasan.

Lebih 700 anggota bomba dan 10 pesawat digerakkan untuk mengawal kebakaran di Gard, sebahagiannya menyebabkan beberapa bahagian jalan raya ditutup.

Beberapa anggota bomba cedera tetapi tidak serius.

Media Perancis melaporkan, seorang lelaki ditahan kerana sengaja memulakan kebakaran di salah satu kampung di Gard.

Britain menyaksikan hari paling panas tahun ini hari ini, dengan suhu mencecah 35 darjah.

Sementara 40 daripada 50 wilayah di Sepanyol diletakkan dalam amaran cuaca, dengan tujuh daripada dianggap amat berisiko, kata agensi kaji cuaca kebangsaan.

Di Girona, raksa mencapai rekod tertinggi 43.9 darjah Celsius semalam, suhu paling tinggi dalam rekod di bandar raya Catalan itu.

Selain tiga kematian di tengah dan utara Itali, hospital di Milan menyaksikan peningkatan 35 peratus kes kecemasan disebabkan masalah berkaitan kepanasan, lapor media. — Reuters

Berita Harian X