Selasa, 21 Mei 2019 | 7:55am
AKTIVIS Greenpeace memasuki pintu masuk ke Ibu Pejabat British Petroleum (BP) di pusat London. - Foto AFP
AKTIVIS Greenpeace memasuki pintu masuk ke Ibu Pejabat British Petroleum (BP) di pusat London. - Foto AFP

10 aktivis Greenpeace ditahan halang ibu pejabat BP

LONDON: Seramai 10 aktivis Greenpeace ditahan polis kerana menghalang laluan masuk ke ibu pejabat global BP bagi mendesak firma gergasi tenaga British itu menghentikan usaha meneroka gas dan minyak.

Pertubuhan alam sekitar dunia itu menghantar aktivis mereka dalam lima kontena besar yang diletakkan di laluan ke ibu pejabat BP itu pada waktu malam.

Aktivis turut menggunakan tali bagi memasang kain rentang bertulis ‘kecemasan suhu’ di tingkap bangunan itu.

Bantahan berkenaan dibuat sebelum mesyuarat agung tahunan BP di Aberdeen, Scotland yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Greenpeace menuntut kata dua daripada BP iaitu beralih sepenuhnya kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui atau menutup operasi mereka.

“BP menggalakkan kempen kecemasan iklim yang mengancam jutaan nyawa dan masa depan dunia.

“Kita perlu menghentikan usaha mencari sumber baharu minyak dan gas jika mahukan sebuah planet yang selamat,” kata seorang aktivis, Paul Morozzo.

Enam pendaki bertali dapat dilihat bergayut di luar bangunan berkenaan di St. James Square tengah hari semalam manakala beberapa aktivis lain duduk di bahagian atas kontena di luar pintu masuk utama.

Kesemua kontena dihiasi dengan corak batu bata dan imej dirakam jurugambar Gideon Mandel untuk projek dikenali sebagai ‘Drowning World’.

Kontena itu yang dihuni dua aktivis setiap satu dilengkapi dengan makanan, minuman, tandas, lampu, buku dan permainan. - AFP

Berita Harian X